Friday, October 18, 2013

Gantung pemain langgar kontrak

Sumber: Sinar Harian

PEMAIN yang didapati melanggar kontrak perlu digantung sekurang-kurangnya tidak dibenarkan bermain untuk mana-mana pasukan dalam tempoh satu musim.

Demikian saranan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang melihat isu pemain dicuri atau melanggar kontrak semakin menjadi-jadi meskipun telah mempunyai perjanjian dengan pasukan lain.

Menurutnya, gantung merupakan hukuman setimpal yang perlu diberikan kepada pemain bagi memberi peringatan di mana isu melanggar kontrak adalah perbuatan yang tidak dibenarkan dalam pasukan.



"Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) yang pergi bermain dengan Johor Darul Takzim (JDT) tanpa bayar hutang, siapa yang benarkan? Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri yang bagi lesen, kalau Mat Yo berani buat, apatah lagi pemain lain.

"Sekarang pula Nazrin Nawi. Dia sudah tandatangani dengan Kelantan, bila JDT bagi tawaran lebih, dia sertai JDT pula, jadi kalau gantung satu musim kepada Nazrin kerana tandatangani dua kontrak, orang lain tak akan berani buat. Bila ada hukuman sebegini pemain akan berhati-hati.

"Tapi masalahnya dalam bola sepak Malaysia, kita tidak ada penguatkuasaan dan jika tiada, inilah yang berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Annuar berkata, FAM yang seharusnya memainkan peranan dalam menangani hal  itu dan bukan mendiamkan diri dengan membiarkan pemain pergi sesuka hati tanpa mengikut peraturan yang ada.

"Di negara kita, bukan soal pinda peraturan sedia ada baru masalah ini akan selesai kerana peraturan yang ada sudah cukup jelas tapi penguatkuasaan tak betul. Kita tidak ikut peraturan. Fifa pun ada peraturan tapi apa yang FAM buat.

Saya bagi tahu kawan saya dari England tentang pengalaman mengenai kes Mat Yo, mereka tidak faham. Mana boleh  pemain yang jelas ada kontrak dengan pasukan asal yang hanya memberi tempoh 48 jam dibolehkan bermain dengan kelab lain akhirnya kelab lama tidak dapat apa-apa bayaran cuma dengan hanya tebus kontrak sahaja.

"Mereka tidak faham semua ini kerana kita tidak penguatkuasaan. Saya nak tanya FAM sebenarnya mereka nak jaga pemain atau kelab? Sebab cara yang betul adalah jaga kelab dulu kerana pemain di bawah seliaan kelab dan sekiranya kelab itu bagus maka pemain juga akan bagus.

"Tapi sekarang mana tempat FAM lindungi kelab, duit tak bagi. Kalau pemain kena denda hanya sedikit tapi kelab mencecah RM200,000 ke atas. Bila kelab ada masalah, FAM lepas tangan, cakap itu tanggungjawab kelab, itu tidak betul. Kalau bola sepak Malaysia nak maju kelab kena maju dulu.

"Mereka kena jaga badan gabungannya iaitu kelab-kelab kerana kami yang memilih Exco FAM tiba-tiba ada masalah negeri, pemain lari anggap itu masalah negeri. FAM tidak boleh bersikap sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian setelah tidak berpuas hati dengan isu pemain dicuri atau melanggar kontrak yang sering membabitkan pemain Kelantan khususnya.

Ini kerana, selepas Mat Yo berhijrah ke pasukan JDT dengan melanggari kontrak, TRW sekali lagi mengalami situasi sama apabila pemain Negeri Sembilan, Nazrin Nawi yang dikatakan sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kelantan namun terpaksa membatalkannya kerana mendapat tawaran JDT.

Difahamkan, Nazrin menerima RM7,000 sebulan ketika bersama Negeri Sembilan dan ditawarkan RM14,000 sebulan oleh Kelantan, manakala JDT menawarkan kira-kira RM40,000 sebulan bagi mendapatkan khidmatnya.

Ketika ditanya adakah faktor kewangan yang memainkan peranan penting penghijrahan pemain ke pasukan lain sehingga berlaku kes pemain dicuri dan langgar kontrak, Annuar berkata :

"Kewangan memang penting, bukan pemain sahaja malah semua menganggap duit penting. Dan sebab itu saya kata dalam hal ini kita tidak boleh salahkan pemain sebaliknya kena ada penguatkuasaan. Kita kena dikawal selia dan ia harus dibuat oleh badan induk. FAM perlu bertindak dan bukan hanya bercakap tanpa ada tindakan yang diambil."

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...