Tuesday, October 8, 2013

Johor DT bakal rombak pasukan

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) dikhabarkan akan membuat rombakan besar-besaran dalam usaha memburu kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) sama ada menjulang Piala Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia pada musim depan selaras dengan impian Tunku Ismail Sultan Ibrahim merevolusikan bola sepak Johor.

Justeru perubahan drastik itu menjanjikan skuad Harimau Selatan berwajah baru dan difahamkan sembilan pemain skuad itu akan dikekalkan manakala beberapa pemain lagi akan diserapkan dalam skuad Johor yang beraksi di Liga Perdana yang turut akan dirombak untuk memburu kejuaraan liga berkenaan. 
Difahamkan pemain yang akan dikekalkan adalah penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Nurul Azwan Roya, Norshahrul Idlan Talaha, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Akram Mahinan, Mohd Hadin Azman, Mohd Nazri Ahmad, kapten Aidil Zafuan Abd Radzak dan Safiq Rahim manakala Ahmad Tharmimi Saiban, Tuah Iskandar, Irfan Abd Ghani dan beberapa pemain lain kemungkinan menyertai Johor di Liga Perdana. 



Pemain pertahanan Muslim Ahmad yang sering memanaskan bangku simpanan tampak diketepikan berikutan prestasi tidak memberangsangkan sepanjang kempen Piala Malaysia dan saingan Liga Super.

Turut tersenarai untuk dinaikkan pangkat menyertai skuad Harimau Selatan adalah Mohd Izuan Jarudin manakala khidmat See Kok Luen masih kekal bersama Johor musim depan yang turut mendapat khidmat pemain pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan.


Apa pun kedudukan Safee Sali masih samar sama ada akan beraksi bersama Johor di Liga Perdana atau kembali menyertai kelab asalnya, Arema FC pada saingan Liga Super Indonesia selepas Johor DT yang mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu secara pinjaman bakal berakhir, November ini. 

Namun skuad Harimau Selatan yang akan dibimbing ketua jurulatih Cesar Ferrando Giminez akan diperkuatkan dengan kehadiran empat tonggak Selangor, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Mohd Asaruddin Putra Omar dan penjaga gol kelahiran Johor, Norazlan Razali. 

Skuad Harimau Selatan sudah melengkapkan kuota tiga pemain import selepas mengikat bekas pemain Argentina, Pablo Aimar, bekas pemain bawah 21 tahun Sepanyol, Braulio Rodriguez dan pemain tengan LionsXII, Hariss Harun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...