Sumber: Harian Metro
Kuching: Dengan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia cuma berbaki sehari, jurulatih Sarawak Robert Alberts sudah mula merasai tekanan bakal dilalui terhadap skuad bimbingannya ketika berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Kehilangan kapten pasukan, Joseph Kalang Tie yang digantung satu perlawanan kerana menerima kad kuning kedua ditambah pula nasib tidak menentu menimpa pertahanan tengah, Ronny Harun memaksa jurulatih kelahiran Belanda itu membuat percaturan baru.
Kalang secara rasmi diketepikan pada perlawanan itu, dan keadaan ini membuatkan Alberts mengerah otak menentukan calon paling layak menggantikannya.
Namun bagi Alberts, beliau pantas melihat kehilangan itu sebagai ‘cubaan’ malah mengakui percaturan baru sudah berada dalam fikirannya.
“Saya sudah ada percaturan baru dan segalanya akan diketahui pagi Sabtu ini (esok). Saya tidak mahu terburu-buru, nama mereka akan diumumkan pada sesi latihan terakhir.
Saya akan putuskan siapa akan disenaraikan dalam kesebelasan utama. Saya kehilangan Kalang tapi keadaan Ronny masih 50-50 walaupun ketika sesi latihan dia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Ditanya mengenai kegusaran dihadapi sekiranya situasi menimpa Roony menjadi kenyataan, Alberts berkata, beliau sedikitpun tidak berasa ia sebagai bebanan kerana mempunyai ramai pemain pilihan.
“Kami ada ramai pemain untuk menggantikan tempat Kalang begitu juga Ronny sekiranya dia tidak dapat beraksi. Pemain yang diberikan tugas nanti sudah tentu mampu memberi persembahan terbaik untuk memastikan kita meraih kemenangan di tempat lawan.” katanya.
Sementara itu, Ronny berkata, dia masih belum dapat membuat keputusan berhubung kecederaan lutut kiri ketika menentang Sime Darby, 5 Oktober lalu.
“Keadaan lutut masih sakit walaupun menjalani rawatan sebelum ini. Saya tidak dapat memberi kata putus sama ada dapat beraksi atau tidak.
“Semuanya bergantung sesi latihan terakhir esok (hari ini) dan saya rela berada di bangku simpanan sekiranya keadaan memerlukan.” katanya.
No comments:
Post a Comment