Saturday, October 12, 2013

ATM ‘pulang’ ke Selayang

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memutuskan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan, minggu depan kembali diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pengurus merangkap jurulatih ATM B Sathianathan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan pemain dan penyokong skuad The Gladiators yang lebih selesa pertembungan itu di laman sendiri berbanding Stadium Shah Alam.



“Perkara ini dipersetujui sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) sesudah mengambil kira beberapa perkara khususnya membabitkan keselesaan pemain dan penyokong,” katanya.

Sathianathan berkata, perkara itu sudah dimaklumkan secara lisan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan permohonan rasmi dikemukakan kepada badan induk itu semalam.


ATM sebelum ini membuat permohonan kepada FAM untuk beraksi di Stadium Shah Alam yang mempunyai kapasiti penonton yang lebih besar dan berdasarkan aspek keselamatan serta sudah mendapat lampu hijau badan induk berkenaan, namun ia tidak dipersetujui barisan pemain Gladiators.


Pemain ATM jelas kurang senang dengan keputusan itu dengan menganggapnya seolah-olah memberi kelebihan kepada Kelantan yang mempunyai penyokong ramai dan turut tidak melihat aspek keselamatan menjadi masalah kerana ia boleh dipertingkatkan seandainya perlawanan berlangsung di Stadium MPS.

Sathianathan berkata, keselesaan pemain sentiasa menjadi keutamaan dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang turut dijadikan gelanggang latihan pasukan ATM, perlu dimanfaatkan sepenuhnya.


“Keputusan ini juga dibuat selepas ATM mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa untuk menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang perlawanan.” - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...