Thursday, October 24, 2013

‘Badang’ dedah rahsia

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Berlatih ala ‘tomoi’ dengan menendang dan menggelecek buah kelapa, malah sesekali menendang pokok kelapa selain mengangkat serta merempuh bebanan seberat 70 kilogram adalah rahsia kekuatan ‘Badang’ skuad Kelantan, Dickson Nwakaeme yang juga pemain kelahiran Lagos, Nigeria.

Malah, Nwakaeme sering berlatih di kawasan pantai sejak berusia 12 tahun bersama adiknya Anthony Nwakamae, 24, sekali gus membantu menguatkan otot dan tubuh pemain berusia 27 itu tanpa perlu menjalani latihan di gimnasium.



Bagaimanapun, bekas pemain Kelab Song Lam Nghe An, Vietnam itu berkata, elemen utama dia mampu melepasi kepungan pemain lawan adalah kekuatan minda kerana ia mengawal seluruh pergerakan tubuh.

Katanya, jika minda lemah, tubuh turut sama terganggu menyebabkan lawan mudah membaca serta mengekang pergerakannya di atas padang.

“Ketika berusia 12 tahun, saya dan adik sering berlatih bola sepak di tepi pantai, melakukan pelbagai aktiviti lasak, antaranya, mengangkat bebanan berat sejauh satu hingga dua kilometer setiap hari.

“Selain menggelecek buah kelapa, kami turut menendang pokok (kelapa) bagi menguatkan betis serta kaki dan melakukannya sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sebelum ini, jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan mengeluh pemainnya sukar mengawal Nwakaeme, seolah-olah pemain itu ‘makan besi’.

Mengenai aksi separuh akhir menentang ATM esok, Nwakaeme berkata, dia menjangkakan pertembungan sengit memandangkan peluang memburu tempat ke final Piala Malaysia masih terbuka.

“Saya akan gunakan segala pengalaman untuk membantu Kelantan layak ke final, seterusnya membawa kenangan manis pulang ke Nigeria”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...