Monday, October 7, 2013

Tunku Ismail sedia undur jika tiada trofi

Foto
Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: “Sekiranya saya gagal membimbing Johor menjulang sebarang piala musim depan, saya akan meletakkan jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ). Itu janji saya,” kata Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) menerusi laman web rasmi Johor Fan Club, kelmarin.


Kenyataan serius itu membuktikan Tunku Ismail mengidam kejuaraan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sama ada Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia selain memburu slot ke saingan Piala AFC musim 2015. 
Walaupun skuad Johor Darul Takzim (DT) kecundang 8-5 secara agregat kepada Kelantan pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, Tunku Ismail bersikap profesional apabila menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan menganggap nasib tidak menyebelahi mereka. 
“Kekalahan hari ini adalah kemenangan hari esok dan saya perlu menyemat cita-cita tinggi serta sanggup menempuh kegagalan. Walaupun kita kalah dalam saingan Piala Malaysia, semangat meneruskan usaha untuk membina kuasa baru bola sepak Malaysia tidak pernah luntur,” katanya.
Apa yang pasti, usaha Tunku Ismail dan perancangan membentuk ‘empayar’ bola sepak Johor sudah bermula selepas mengikat bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar dan bekas pemain bawah 21 tahun Sepanyol, Braulio Rodriguez serta pemain tengah LionsXII, Hariss Harun untuk melengkapkan kuota tiga pemain import musim depan selain kelibat ketua jurulatih baru, Cesar Ferrando Giminez yang akan dibantu Azmi Mohamed.

Malah Tunku Ismail bukan sekadar menumpukan perhatian terhadap Johor DT, sebaliknya Johor yang beraksi pada saingan Liga Perdana turut mendapat suntikan pemain berkualiti selepas pertahanan LionsXII, Baihakki Khaizan akan menyarung jersi skuad itu dengan kontrak empat tahun. 

Pasukan Johor bimbingan Edres Selamat bakal diperkuat kombinasi beberapa pemain berpengalaman dan muda dengan sasaran layak ke Liga Super musim depan. 

Malah Tunku Ismai yang memiliki visi membentuk barisan mantap Johor DT dan Johor akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai barisan pemain kedua-dua pasukan dan yakin saingan Liga M musim depan lebih rancak dan mampu menjanjikan corak permainan menghiburkan. 


“Kejayaan tidak datang sekelip mata, ia perlukan masa namun kekalahan umpama cuaca buruk, ia tidak kekal berpanjangan dan pasti akan berubah. Saya impikan masa depan lebih baik dan melupakan sejarah lalu demi kemajuan bola sepak Johor,” kata Tunku Ismail.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...