Tuesday, October 8, 2013

‘Tak mahu Stadium Shah Alam’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Kelebihan akan memihak kepada Kelantan”.

Itu reaksi salah seorang pemain senior Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak setuju perubahan stadium yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam berbanding Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menjadi gelanggang tuan rumah Gladiators sepanjang musim ini.

“Bagi pemain, bermain di Shah Alam seolah-olah beraksi di stadium berkecuali yang secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada lawan. Pasti ramai penyokong mereka akan hadir memenuhi stadium.



“Seperti Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV yang menjadi gelanggang keramat mereka, kami juga menganggap Stadium MPS seperti itu. Kami hanya tewas beberapa kali musim ini. Kenapa stadium perlu ditukarkan semata-mata untuk memenuhi permintaan penyokong lawan,” katanya.

Presiden Persatuan Bolasepak ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebelum ini mengarahkan perbincangan diadakan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pertukaran stadium selepas menyingkirkan LionsXII di suku akhir kerana dijadual berdepan lawan yang mempunyai penyokong yang ramai.

Stadium MPS dilihat terlalu kecil untuk berlangsungnya pertemuan separuh akhir berkenaan apabila sekadar mempunyai kapasiti 16,000 berbanding Stadium Shah Alam yang mencecah 80,000 penonton.

“Saya turut tidak merasakan aspek keselamatan menjadi masalah jika bermain di Selayang kerana ia boleh ditingkatkan bagi memastikan perlawanan berjalan dengan lancar. Untuk aksi separuh akhir ini seolah-olah kami bermain di stadium berkecuali (Stadium Shah Alam) dan di tempat lawan (Stadium Sultan Muhammad IV). Tiada sebarang kelebihan di laman sendiri,” kata pemain berpengalaman itu.

ATM melangkah bergaya ke separuh akhir apabila menewaskan LionsXII 4-1 di Stadium MPS hasil sokongan padu kira-kira 13,000 penyokong Gladiators walaupun tewas 0-1 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar. ATM dijadual bertemu Kelantan untuk separuh akhir pertama pada 18 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...