Sumber: Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Skrip yang sama terus berulang. Walaupun berjaya mendapatkan satu perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan kebangsaan nampaknya ia jelas tidak memberikan sebarang manfaat apabila aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hari ini di Shenzhen, China disahkan bukan perlawanan kelas A.
Perkara itu diberitahu sendiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, ia disebabkan oleh permintaan UAE sendiri yang tidak bersedia hanya menggunakan penggantian enam pemain dalam aksi persahabatan menentang Harimau Malaya.
Apa yang saya boleh beritahu perlawanan dengan UAE di Shenzhen bukannya perlawanan berkelas A kerana itu yang dimahukan oleh UAE sendiri melalui permohonan yang dihantar kepada kita.
Jadi, perlawanan ini boleh dianggap sebagai perlawanan ujian sebelum menentang Bahrain nanti pada 15 Oktober nanti dan itu sahaja yang saya boleh beritahu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.
Ini bukan kali pertama aksi persahabatan Harimau Malaya dengan pasukan luar negara tidak disenaraikan sebagai bukan perlawanan berstatus A apabila pada 17 Mac lalu, perlawanan dengan Arab Saudi sekadar menjadi medan pemanas badan buat pengendali, Datuk K. Rajagobal yang memperlihatkan skuad negara dibelasah 1-4.
Selain itu, dua lagi perlawanan iaitu ketika menentang Iraq (1 Februari) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3 dan Palestin, kalah 1-2 (26 Mac) juga tidak diambil kira dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Berdasarkan undang-undang, aksi persahabatan kelas A tidak boleh menggunakan lebih enam pemain gantian dan sekiranya itu terjadi, perlawanan itu mendatangkan sebarang faedah dalam kiraan ranking FIFA.
Rajagobal bertandang ke China dengan membawa skuad yang tempang kerana enam pemain utama mengalami kecederaan serius menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain, 15 Oktober ini.
Wan Zack Haikal Wan Nor sudah pasti antara nama yang akan dilupakan oleh Rajagobal selain menunggu nasib beberapa pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan hidung manakala Safee Sali, Mohd. Aidil Zafuan dan Shakir Shaari dilanda masalah hamstring.
Dua tonggak pertahanan dari skuad Harimau Muda, Mohd. Fadhli Shas serta Nik Shahrul Mohd. Azim mendapat kecederaan Muscle Cruciate Ligament (MCL) dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua minggu.
Harimau Malaya dijadualkan berdepan UAE pada pukul 7 malam ini waktu Malaysia.
No comments:
Post a Comment