Wednesday, October 9, 2013

Indra lega kes menyiku ‘tidak melekat’

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: “Syukur...Alhamdulillah!” kata penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin sebaik dimaklumkan yang dia tidak akan didakwa selepas tiada laporan diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada pegawai perlawanan susulan dakwaan dia menyiku penyerang Johor Darul Takzim (DT) Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Indra berkata, berita gembira itu membuatkan dia lega kerana sejak dari awal mengetahui memang tidak bersalah dalam insiden terbabit.



“Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pusingan pertama separuh akhir,” katanya merujuk kepada pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, pada 18 Oktober ini.

Perlawanan itu dianggap penting buat The Red Warriors (TRW) kerana bakal menentukan ‘hidup mati’ Kelantan sama ada layak ke final Piala Malaysia atau sebaliknya memandangkan ATM pasukan ‘liat’ serta sukar untuk ditewaskan kerana dibarisi ramai pemain ternama seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto.


“Kita perlu cari bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Kota Bharu,” katanya. Aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV diadakan pada 25 Oktober ini.


Pemain paling ‘otai’ dalam skuad Kelantan itu meminta rakan sepasukan menumpukan perhatian kepada kedua-dua perlawanan itu jika mahu layak ke final.

“Saya harap rakan sepasukan dapat memberi persembahan terbaik seperti ketika bertemu Johor DT ketika menentang ATM. Pemain seperti Marlon dan Hairuddin perlu dikawal ketat kerana mereka begitu berbahaya di depan gol,” katanya.


Berhubung pemindahan lokasi perlawanan separuh akhir pertama dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Stadium Shah Alam seperti diputuskan FAM, kelmarin, Indra menyambut baik keputusan itu kerana Stadium Shah Alam turut dianggap penyokong Kelantan sebagai `stadium keramat kedua TRW selepas Stadium di Kota Bharu.

“Justeru, kami harap penyokong membanjiri stadium bagi meniup semangat pemain kerana ATM dijangka membawa ramai penyokong tegar mereka. Namun, saya percaya jurulatih, Bojan Hodak mempunyai perancangan rapi untuk berdepan ATM.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...