Tuesday, May 1, 2012

‘FAM dera rakyat Sarawak’



Karim seru FAS tarik diri berikutan hukuman yang dianggap kejam

ABDUL KARIM

KUCHING: Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dilihat sebagai satu tindakan yang tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada sukan bola sepak negara.

Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan tindakan Jawatankuasa Disiplin FAM yang mengenakan denda hampir RM80,000 ke atas FAS selain memaksa Sarawak bermain tanpa penyokong di gelanggang sendiri umpama ‘mendera’ rakyat negeri ini.

“Saya kurang pasti sama ada Jawatakuasa Disiplin FAM ada melihat rakaman tentang apa yang berlaku atau hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja.


“Keputusan FAM kejam, tidak membantu memajukan sukan, satu deraan dan penghinaan kepada rakyat Sarawak,” demikian menurut beliau  kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan FAM yang mendenda FAS sebanyak dua kali dengan jumlah dendaan yang mencecah RM75,500 selain terpaksa bermain dalam stadium kosong tanpa penyokong untuk empat perlawanan yanga akan datang di gelanggang sendiri.

Menurut Karim, FAS harus mengkaji sedalam-dalamnya perkara tersebut, sama ada Sarawak wajar terus melibatkan diri dalam liga anjuran FAM ataupun meningkatkan prestij Liga Borneo melibatkan Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan Barat (Kalbar), Kalimantan Timur (Kaltim) dan Labuan.

“Lebih baik kita menarik diri sahaja daripada dipermainkan oleh mereka yang tidak menghormati kita,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Muda Perumahan menggesa kerajaan pusat agar memantau tindakan badan-badan sukan seperti FAM agar tidak menjejaskan integrasi nasional.

“Kita (rakyat Sarawak) tidak mahu didera dan dihina dengan tindakan sebegini rupa,” jelasnya.

Timbalan Presiden FAS, Mohamad Abu Bakar Marzuki dipetik sebagai berkata bahawa FAS akan merayu kepada FAM untuk meringankan hukuman yang dianggap keterlaluan itu.

“Sepatutnya FAS diberi peluang untuk mempertahankan diri. Untuk bermain tanpa penyokong adalah keputusan yang tidak boleh diterima. Ia membunuh sukan,” kata Abu Bakar.

Jika hukuman itu terus dikuatkuasakan, maka Sarawak dijangka akan bermain dalam stadium kosong bermula dengan perlawanan menentang Sabah (12 Mei), Selangor (16 Jun), Perak (23 Jun) dan Johor FC (30 Jun) dan ini pastinya akan menyebabkan FAS terus kerugian kerana kehilangan pendapatan khususnya dari segi kutipan yuran masuk.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...