Tuesday, August 2, 2011

Perak 'import' pemain tempatan

PERAK dijangka menggunakan khidmat pemain daripada pasukan Perlis, Harimau Muda dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 9 September depan.
Ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha berkata, nama pemain tersebut akan diumumkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dalam masa terdekat sebaik sahaja pemain berkenaan selesai menandatangani kontrak.
"Ketiga-tiga pemain itu sedang berusaha membentuk persefahaman mantap bersama-sama pemain lain. Dengan kehadiran mereka, saya percaya barisan serangan Perak akan lebih menyengat dan berbisa," katanya di Ipoh semalam.
Beliau berkata, semua pemain perlu meningkatkan lagi persefahaman sesama sendiri agar corak dan strategi permainan pasukan Perak menjadi lebih teratur.
Katanya, skuad Seladang berazam mencatat keputusan lebih baik dalam saingan Piala Malaysia kali ini.
Pada pertengahan bulan lepas, Pafa telah memanggil lapan pemain masing-masing pemain tengah dan serangan.
Skuad bimbingan Norizan Bakar itu dikatakan menghadapi masalah ketumpulan di jentera serangan ekoran penyerang utama Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengalami kecederaan yang berpanjangan.
Perak sebelum itu turut kehilangan seorang lagi penyerang utama apabila kontrak Razali Umar Kandasamy ditamatkan pada 1 Jun lalu kerana masalah disiplin.
Perak hanya berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA dan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...