TIDAK berpuas hati dengan prestasi awang import dari Ghana, Hamidan Mohamed, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menggesa pemain itu digugurkan selepas beraksi hambar sejak menyertai skuad Kenari sejak dua bulan lalu.
Hamidan yang diharapkan dapat menjulang prestasi Kedah, gagal menyumbatkan sebarang gol sehingga menyebabkan kedudukan skuad itu dalam Piala FA tergugat selepas hanya seri tanpa jaringan dengan T-Team di suku akhir, kelmarin.
Setiausaha Kehormatnya, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, berkata KFA akan mengalami kerugian jika masih menyimpan pemain yang tidak memberangsangkan.
“Sebagai penyerang import dia sepatutnya memberi sumbangan besar tapi keadaan sebaliknya.
“Kita sedang meneliti beberapa pemain import lain bagi mengantikan pemain Ghana itu,” katanya di Alor Setar, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi Kedah yang kurang menyerlah pada musim ini, biarpun mempunyai pemain import.
Dr Hamdan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemain import yang sedang diintai itu, kerana ia perlu mengambil kira pelbagai faktor.
“Kita mengambil pemain import melalui agensi dan memilih pemain terbaik dengan gaji sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan.
Beberapa pemain sudah diuji bagaimanapun KFA setakat ini masih belum membuat keputusan.
Dr Hamdan berkata, prestasi pasukan Kedah yang menurun sebelum ini kemungkinan berpunca dari beberapa sebab, termasuk kes pengantungan jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan menyebabkan emosi kebanyakan pemain agak terganggu selain ketidakserasian pemain import.
No comments:
Post a Comment