Saturday, March 31, 2012

Alberts tenang tonggak cedera



Jurulatih Sarawak yakini keupayaan pemain sokongan berdepan PKNS Selangor
KUCHING: Kecederaan beberapa pemain tonggak tetap tidak merisaukan Sarawak ketika mereka bertandang ke di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya untuk menentang PKNS Selangor malam ini (Sabtu).

Jurulatih pasukan, Robert Alberts berkata beberapa tonggaknya terpaksa direhatkan sama ada kerana mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.


“Walaupun kita berdepan masalah kecederaan yang melibatkan beberapa pemain utama, saya yakin pasukan kita berupaya memberi tentangan sengit kepada lawan,” katanya ketika dihubungi di ibu negara, semalam.

Menurut Alberts, beberapa pemain utama seperti Rashid Aya, Azizan Baba, Hairol Mokhtar dan Ravindran Krishnan masih mengalami kecederaan justeru tidak dapat bermain malam ini. Sarawak turut kehilangan pemain pertahanan lincah, Dzulazlan Ibrahim kerana digantung satu perlawanan.

Walau bagaimanapun, Alberts yakin pemain-pemain yang ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Masalah ini (kecederaan) tidak begitu membinggungkan saya. Kita mempunyai pemain sokongan yang bagus dan dengan pelan yang ada, kita akan bertandang ke Stadium MPPJ malam esok untuk menang,” ujar jurulatih dari Belanda itu.

Sehubungan itu, Alberts berharap jentera serangan yang diterajui Zamri Morshidi dan Vedran Muratovic akan dapat meningkatkan prestasi seperti yang mana yang ditunjukkan ketika menentang skuad negara tempoh hari.

“Pada perlawanan menentang skuad kebangsaan, saya cukup berbangga kerana pemain-pemain kita telah menunjukkan kecergasan yang tinggi dan beraksi dengan baik di posisi masing-masing,” katanya.

Justeru berdasarkan prestasi hebat yang dibuktikan sebelum ini, Alberts percaya anak-anak buahnya mampu membawa pulang mata malam ini.
Alberts berkata anak-anak buahnya dalam ‘mood’ terbaik menentang PKNS Selangor malam ini setelah mereka beraksi dengan cemerlang ketika menentang pasukan kebangsaan di laman sendiri pada Sabtu lalu.

Alberts turut menjangkakan PKNS Selangor akan memberi cabaran hebat kepada Sarawak seperti yang mereka lakukan pada musim lalu malah beliau turut yakin corak permainan lawan masih sama.

“PKNS Selangor merupakan pasukan yang gemar bermain secara bertahan, hanya melancarkan serangan pantas ketika lawan mereka melakukan kesilapan. Corak permainan seperti itu agak membuahkan hasil bagi mereka ketika ini,” ujar Alberts.

Justeru Alberts menggesa anak-anak buahnya supaya banyak bersabar kerana pasukan tuan rumah pasti akan cuba menguji kesabaran pemain-pemain Sarawak dengan taktik bertahan. Beliau mahu pemain-pemainnya untuk bijak mencari peluang bagi memecahkan benteng PKNS Selangor.

“Mereka (PKNS Selangor) banyak menang dengan gol tipis ketika ini. Saya berharap strategi kita nanti betul demi mencapai kemenangan malam esok,” ujarnya dengan penuh harapan.

Sarawak ketika ini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 11 mata, jauh 12 mata ketinggalan di belakang peneraju liga, Kelantan yang mengutip 23 mata.

PKNS Selangor turut mengutip 11 mata namun berada di hadapan Sarawak di tangga kesembilan berdasarkan perbezaan jaringan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...