Tuesday, March 27, 2012
Keputusan heret Azzuddin hari ini
KEPUTUSAN sama ada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad akan turut diheret menghadap Jawatankuasa Tatatertib atas dakwaan mengkritik secara terbuka skuad Olimpik negara hanya diputuskan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak tanah air itu, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, pihaknya akan bersidang hari ini untuk membuat keputusan serta memperjelaskan secara terperinci isu yang turut berkait rapat dengan pertuduhan ke atas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa itu.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut perkara ini, apa yang saya boleh maklumkan di sini Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang esok (hari ini) untuk membuat keputusan sama ada Datuk Azzuddin akan dikenakan sebarang pertuduhan.
“Sebenarnya pihak jawatankuasa sudah menyentuh isu ini pada mesyuarat sebelum ini namun tidak sempat membincangkan secara terperinci kerana perlu memberi perhatian kepada beberapa kes disiplin yang lain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Sebelum ini ada laporan menyatakan bahawa jawatankuasa itu sepatutnya membuka kertas siasatan ke atas Azzuddin kerana mengkritik kegagalan skuad Olimpik 16 Mac lalu seperti yang dialami Annuar apabila menghadapi dua pertuduhan kerana mengkritik prestasi skuad kebangsaan kendalian K Rajagobal baru-baru ini.Isu itu menarik perhatian ramai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang mencadangkan agar FAM bersikap lebih terbuka supaya ahli gabungan diberikan hak untuk bersuara.
Menurut Taufik, turut dibincangkan pada mesyuarat hari ini adalah kes membabitkan pemain import Negeri Sembilan Jean-Emmanuel Effa Owona yang didakwa melakukan kesalahan ke atas pemain Felda United dalam pertemuan Liga Super pada 21 Januari lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment