Monday, March 12, 2012

Selangor lupakan trofi Piala FA


PARA pemain Johor FC meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor di Johor Bahru kelmarin.

KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.Irfan menjadi individu paling kecewa selepas skuad Gergasi Merah tumbang kepada Johor FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru kelmarin.
Selangor mendahului 2-0 hasil jaringan Azidan Sarudin dan Mohd. Asraruddin Putra Omar ketika skuad kendalian K. Devan itu terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Azi Shahril Azmi dilayang kad kuning kedua pada minit ke-17.


Begitupun, Johor FC berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Fauzi Shaari, sekali gus menjadikan pencetus semangat juang tinggi Johor FC.
Kelalaian penjaga gol Selangor, Norazalan Razali dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang import Johor FC dari Brazil, Arthur Henrique untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti
Kejayaan Johor FC mara ke suku akhir Piala FA menerusi agregat 5-4 selepas Mohd. Amirulhadi Zainal dan Solihin Kanasian gagal menyempurnakan sepakan tersebut.
Mengulas lebih lanjut, Irfan mengakui gol kedua Johor FC itu ‘merentap’ semangat pasukan itu untuk memberikan aksi yang lebih positif.
Katanya, beliau mengakui kecuaian tersebut harus dijadikan teladan dan menuntut tidak mengulangi ‘perbuatan’ itu menjelang perlawanan akan datang.
“Satu kesilapan (kecuaian Norazalan) yang sukar untuk saya terima. Kami mendahului perlawanan ini dengan kelebihan dua gol tetapi akibat kecuaian tersebut, pihak lawan berjaya menyamakan kedudukan.
“Secara tidak langsung, ia mematahkan semangat perjuangan barisan pemain Selangor untuk tampil dengan lebih baik. Saya tidak menjangka kesudahan Selangor pada perlawanan ini disebabkan berpunca dari sikap (Norazlan) tersebut.
“Saya berharap pemain-pemain saya lebih bersedia dan tidak memandang rendah kepada mana-mana pasukan. Tanam sikap yang lebih serius dan sentiasa mengeluar bola dari kawasan bahaya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya, beliau yang menyifatkan 'kekejaman' dalam bola sepak ialah apabila sesebuah pasukan tewas melalui sepakan penalti, tidak menganggap Amirulhadi dan Solihin punca Selangor gagal mara.
Sebaliknya, Irfan memberitahu sepakan penalti lebih bergantung kepada nasib.
“Bayangkan perasaan seseorang pemain akan tenang jika terpaksa mengambil sepakan itu dalam satu perlawanan yang cukup penting di hadapan ribuan penyokong.
“Sudah tentu ia akan memberi tekanan. Tetapi saya memuji pasukan lawan yang bangkit dan berharap ia menjadikan pengajaran yang berguna kepada barisan pemain Selangor pada masa hadapan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...