Friday, March 16, 2012

‘Tak nampak faedah’


Harian Metro 


“SAYA tidak nampak apa faedah yang akan diperoleh skuad negara sekiranya berterusan menentang pasukan tempatan. Apakah ini maksudnya Harimau Malaya berada di landasan tepat? Saya tidak bersetuju dengan perkara ini.”


Itu reaksi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berhubung tumpuan skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal yang kerap mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan pasukan negeri dan terbaru menentang skuad Liga Super, Sarawak di Stadium Negeri, Kuching Sabtu depan.




Sarawak yang berada di pertengahan liga kendalian Roberts Alberts adalah skuad Liga Super keempat ditentang Rajagobal sejak disingkirkan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia, Julai tahun lalu.


Skuad kendaliannya tewas kepada Selangor 0-1 dan mencatatkan kemenangan ke atas juara bertahan, Kelantan (5-0) dan Sabah (1-0).

“Pengalaman yang dimiliki sudah mencukupi, kita dah menang Piala AFF. Kalau hendak meningkat kita perlu menentang pasukan yang lebih baik. Bukannya tidak boleh menentang pasukan tempatan, masalahnya liga tempatan tidak berada pada tahap yang baik.


“Adalah lebih baik seandainya terdapat masa yang terluang, mereka merancang untuk mengadakan aksi persahabatan dengan kelab luar di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Bukan kelab Asia Tenggara yang tidak jauh bezanya dengan taraf bola sepak negara.




“Sudah pasti tahap dan kemampuan yang dimiliki mereka adalah lebih baik,” kata bekas pemain yang pernah menyarung jersi negara selama sembilan tahun bermula 1976 hingga 1985.

Situasi itu turut mengundang keresahan peminat bola sepak negara berikutan ketiadaan aksi persahabatan antarabangsa yang lebih kerap menyebabkan ranking negara yang semakin menurun dengan terbaru berada di ranking ke-152, jatuh empat anak tangga sejak Januari tahun ini.


Mungkin kerana prestasi merudum itu mendapat perhatian Tan Sri Annuar Musa yang yang khuatir akan kemampuan Harimau Malaya mempertahankan Piala AFF hujung tahun ini. Selaku Timbalan Presiden FAM, beliau berhak menyuarakan pandangannya.

Soalnya apakah skuad negara dan Rajagobal sendiri sekarang ini tidak lagi boleh ditegur? Bijakkah seorang pengurus pasukan seperti Datuk Seri Subahan Kamal melenting hanya kerana teguran yang berupa satu kebenaran? Apakah status hanya selaku juara rantau Asia Tenggara seolah-olah skuad Harimau Malaya ini mendapat kekebalan istimewa?


Malah sejak disingkirkan Singapura, selepas itu skuad negara melepaskan peluang untuk membaiki kedudukan di ranking dunia apabila gagal meraih kemenangan dalam empat aksi persahabatan antarabangsa berstatus ‘A’.


Mereka kecundang 0-5 kepada Australia (Oktober 2011) selain terikat 1-1 dan tewas 2-3 kepada India (November 2011) dengan terbaru jaringan lewat memastikan keputusan seri 1-1 menentang Filipina pada penghujung bulan lalu.


Kali terakhir skuad negara menikmati kemenangan di pentas antarabangsa adalah pada perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan keputusan 2-1 pada Jun tahun lalu.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...