Tuesday, March 13, 2012

Taktikal pemain Sime Darby FC menjadi


Harian Metro

JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria menyifatkan kemenangan ke atas USM FC pada pusingan kedua Piala FA Sabtu lalu, adalah usaha gigih pemainnya yang tidak mahu mengalah sebelum berjuang.


Selain itu beliau berkata, taktikal yang diterapkan antara faktor pasukan melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab itu tiga tahun lalu. “Disiplin dan komitmen yang tinggi juga adalah aset berharga buat pasukan sebelum berjaya melakar kemenangan 2-0 untuk bertemu Johor FC.




“Sebelum saingan Piala FA bermula, saya tidak meletakkan sebarang sasaran, namun dengan berbekalkan semangat tinggi dipamerkan pemain, saya yakin pasukan mampu melangkah lebih jauh.




“Kejayaan ini menambah keyakinan pemain untuk berdepan Johor FC pada perlawanan pertama pada 24 Mac ini di Stadium Selayang sebelum berkunjung ke laman lawan, 27 Mac,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pengarah kejurulatihan Selangor itu berkata, beliau kini sedikit risau dengan barisan penyudahnya yang masih gagal menghidu peluang terbaik apabila berada di depan pintu gol.


“Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan prestasi diperagakan pemain ketika menewaskan USM FC, namun barisan penyerang yang banyak melepaskan peluang untuk meledak jaringan memeningkan saya.





“Saya berharap pasukan akan terus konsisten terutama barisan penyerang untuk mencari bekalan selesa sebelum berkunjung ke gelanggang lawan untuk perlawanan timbal balik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...