Sunday, March 25, 2012

Pegawai PBNJ ditahan


Harian Metro 


JOHOR BAHRU: Seorang pegawai bahagian kewangan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan menjadi bookie dan terbabit dalam aktiviti mengatur beberapa perlawanan bola sepak di negeri ini, tengah malam Isnin lalu.


Difahamkan, suspek berusia 31 tahun itu adalah teman wanita seorang anggota polis dan dia ditahan berikutan satu laporan polis yang dibuat pegawai PBNJ sehari sebelum tangkapan dilakukan.


Wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa bookie tertentu itu ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan polis.




Selain itu, polis menyiasat dakwaan bahawa wanita berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan seorang anggotanya daripada Bahagian Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Anggota polis terbabit tidak ditahan mahu pun diambil keterangan berikutan siasatan mendapati dia tidak terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, mengesahkan tangkapan dan berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyiasat kes rasuah bola sepak itu yang disifatkan ‘merosakkan’ dunia sukan negara.





Menurutnya, wanita berkenaan ditahan di sekitar bandar raya ini pada tengah malam Isnin lalu bagi membantu siasatan dan pihaknya kini mencari rakan-rakan wanita itu.

“Saya akan pastikan siasatan berjalan lancar dan mahu semua individu terbabit dalam mana-mana aktiviti mengatur perlawanan ditahan.




“Kami (polis) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa saja termasuk anggota serta pegawai polis sekiranya mereka didapati terbabit dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM 2009) dan jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Presiden I PBNJ, Md Jais Sarday berkata, kes rasuah itu masih dalam siasatan dan badan induk bola sepak negeri sentiasa memberi kerjasama kepada polis bagi melengkapkan siasatan.


“Sebelum ini Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut bertitah supaya tiada pembabitan rasuah di kalangan pemain dan pegawai bagi memastikan bola sepak negeri ini bersih daripada gejala berkenaan dan apa yang berlaku (penahanan wanita itu) adalah satu proses memastikan gejala rasuah dibanteras.


“Ia sekali gus membuka mata semua persatuan bola sepak Malaysia betapa seriusnya usaha kami bagi membanteras gejala itu daripada terus merebak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...