Monday, March 19, 2012

Kelantan tetap sukar digugat


S. CHANTURU (dua dari kanan) turut bertindak cemerlang ketika membantu Kelantan menewaskan Perak 2-0 di Ipoh kelmarin. 
 PENYOKONG Kelantan tidak begitu yakin pasukan kesayangan mereka itu akan meraih kemenangan ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh malam kelmarin.
Kebimbangan mereka hadir selepas Kelantan kehilangan tiga tonggak utama iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat dan S. Subramaniam pada perlawanan tersebut.


Ditambah rekod buruk selepas dibelasah Perak 4-0 musim lalu, ia sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan para peminat The Red Warriors sama ada gergasi Pantai Timur itu mampu mengekalkan kedudukan di persada liga.
Begitupun, penyandang juara Liga Super itu berada pada kelas tersendiri apabila membenam Perak 2-0 di hadapan penyokong sendiri hasil jaringan dua pemain pertahanan mereka, Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak.
Gol pembukaan menerusi Daudsu pada minit ke-11 dan Zairul Fitree selang 16 minit kemudian yang kedua-duanya menerusi sepakan percuma sudah cukup untuk meletakkan Kelantan selesa menerajui takhta Liga Super.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menyifatkan kemenangan tersebut adalah rezeki kepada pasukannya kerana kedua-dua gol tersebut dijaringkan berikutan kealpaan penjaga gol pasukan lawan.
Menurutnya, dua jaringan menerusi situasi ‘bola mati’ dan melalui dua pemain pertahanan adalah suatu yang cukup istimewa selain misi membalas hutang lama selepas dimalukan pasukan Perak musim lalu.
“Kemenangan semalam (kelmarin) terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila kita kehilangan Ramzul (Zahini Adenan) yang mengalami kecederaan serius dan kita mungkin terpaksa melupakan khidmatnya untuk satu tempoh yang lama.
“Kita tidak dapat menurunkan pasukan terkuat dalam perlawanan malam semalam (kelmarin) berikutan faktor kecederaan tetapi kita memberi kepercayaan penuh kepada pemain yang disenaraikan dan mereka telah membuktikannya,” katanya.
Tambahnya, selain tonggak utama yang tercedera, Indra Putra Mahayuddin juga tidak beraksi pada tahap sebenar berikutan kecederaan lutut yang dialami selain tidak cergas sepenuhnya.
“Indra beraksi dengan lutut yang berbalut tetapi dia rasa dia boleh main sebab itu kita buat keputusan untuk senaraikan beliau. Jika masih cedera kita tidak akan mengambil risiko,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azman turut memuji benteng pertahanannya yang begitu ampuh bertahan mematahkan serangan pasukan Perak untuk mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki sehingga ke tiupan wisel penamat.
“Kita kehilangan Subramaniam tetapi Obinna (Nwaneri) mengambil alih tugas tersebut dengan baik dan beliau cukup bagus mengetuai barisan pertahanan mengekang asakan pasukan lawan.
“Bagaimanapun, saya mengakui bahawa aksi pada babak kedua agak hambar kerana kita terikut-ikut dengan rentak permainan pasukan lawan. Kita terpaksa settle down selepas Perak mengasak dan akhirnya kita berjaya mempertahankan kelebihan dua gol tersebut,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...