“PRESTASI mereka makin meningkat,” demikian pengakuan penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengenai lawan mereka, Kuala Lumpur pada pusingan kedua Piala FA, malam ini.
Selain hanya mahukan kemenangan mutlak, kemenangan ke atas skuad Warga Kota dilihat lebih penting untuk meletakkan The Red Warriors di landasan terbaik memenangi lebih banyak trofi musim ini.
Malah episod duka dikecewakan Negeri Sembilan ketika cuba mempertahankan trofi sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah sebelum ini, boleh dijadikan pengajaran terbaik bagi Kelantan supaya tidak terlalu yakin walaupun berdepan pasukan kerdil.
“Pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu sebelum ini, mereka (Kuala Lumpur) mampu memberikan saingan dan walaupun tewas, ia hanya dengan jaringan tipis.
“Mungkin mereka lebih bersemangat selepas perlawanan itu, malah prestasi mereka juga semakin meningkat selepas setiap perlawanan. Kami tidak boleh ambil mudah dan perlu berada dalam keadaan bersedia,” katanya.
Kelantan layak ke pusingan kedua selepas menewaskan Sarawak 2-1 manakala Kuala Lumpur menyingkirkan pesaing Liga Perdana, MP Muar, 3-0.
“Walaupun sedikit letih kerana mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, kami perlu segera pulih dan tidak menjadikannya sebagai alasan untuk beraksi di bawah tahap sebenar,” katanya.
No comments:
Post a Comment