SEJAK kehadiran dua pemain import dari Russia, Boris Kockhin dan Eduard Sakhenvich, rentak permainan Pahang dilihat semakin mantap dan hakikat itu diakui pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh.
Malah, dua gol yang disumbangkan kedua-dua pemain itu ketika menentang MP Muar, Jumaat lalu, membuktikan anak buah ketua jurulatih Dollah Salleh itu berada di landasan tepat untuk merebut gelaran selaku juara Liga Perdana musim ini.
“Saya harap kerjasama di kalangan pemain akan lebih baik memandangkan kedua-dua pemain ini baru bersama pasukan dan mereka menyertai kita sejak tiga perlawanan lalu,” katanya.
Menurutnya, kemenangan besar 5-1 ke atas MP Muar seharusnya menjadi suntikan moral pemain untuk lebih komited terhadap pasukan menjelang pertemuan akan datang.
“Saya puas hati komitmen semua pemain yang bijak memanfaatkan peluang hingga mencatat kemenangan besar.
“Biarpun ketinggalan, pemain berjaya bangkit untuk menang bagi mengukuhkan kedudukan kami. Semangat juang tinggi dan kerjasama berpasukan membuktikan Pahang musim ini akan beroleh kejayaan,” katanya.
Pada perlawanan itu, lima gol Pahang dihasilkan Mohd Hazuan Daud, Azamuddin Mohd Akil, Faizol Hussin, Kockhin dan Sakhenvich.
Kemenangan itu juga membolehkan Pahang memungut 19 mata daripada lapan perlawanan dan menduduki tangga kedua di belakang ATM.
No comments:
Post a Comment