Wednesday, March 21, 2012
Gol Balaban ikat skuad LionsXII
SELANGOR bangkit untuk mencuri satu mata ketika menentang LionsXII dalam aksi tunggal Liga Super yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, malam tadi.
Jaringan penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban memastikan Merah Kuning tidak pulang tangan kosong selepas tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan.
Keputusan itu membolehkan Selangor naik ke tangga kelima Liga Super manakala LionsXII mengatasi Terengganu untuk berada di tempat kedua dengan mengumpul 21 mata, ketinggalan dua mata berbanding pendahulu liga yang juga juara bertahan, Kelantan.
Perlawanan berlangsung dengan rancak apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas yang menghiburkan penonton, namun nasib nyata memihak kepada tuan rumah terlebih dulu walaupun Selangor mempunyai peluang terbaik membuka jaringan pada minit ke-37 menerusi tandukan kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah yang berjaya dihalang pertahanan lawan di garisan gol.
Walaupun turun tanpa kapten yang juga penjaring terbanyak, Shahril Ishak, ia tidak menghalang LionsXII apabila Sufian Anuar memecahkan kebuntuan pada minit ke-62 yang bijak menyambar hantaran Safirul Sulaiman sekali gus menewaskan G Jeevananthan di gawang Selangor.
Jaringan itu menambahkan tekanan ke atas anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang cuba mengatur serangan balas bagi mencari gol penyamaan termasuk memasukkan dua pemain, K Gurusamy dan R Surendren bagi menguatkan barisan depan Merah Kuning.
Gol penyamaan yang dinanti-nanti akhirnya muncul pada minit ke-81 menerusi sepakan percuma Balaban yang menewaskan penjaga gol LionsXII, Hyrulnizam Juma'at.
Balaban berpeluang memastikan kemenangan kepada Selangor namun tandukannya pada masa kecederaan diselamatkan Hyrulnizam yang kali ini lebih bersedia di gawang LionsXII.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment