NORFARHAN (kiri) diasak dua pemain Kuala Lumpur pada saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, kelmarin. |
‘Saya perlu berusaha lebih untuk beri yang terbaik’
PEMAIN sayap kanan, Norfarhan Mohamad tekad mahu terus menambat hati ketua jurulatih, Bojan Hodak selepas berjaya meledak dua gol dalam saingan Piala FA, termasuk satu gol ketika membenam Kuala Lumpur, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Tanpa mendabik dada, pemain berusia 27 tahun dari Terengganu itu beranggapan jaringan pertama dihasilkan memberi keyakinan kepada diri sendiri selain membalas kepercayaan jurulatih yang memberi peluang berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Kuala Lumpur.
“Kalau jurulatih bagi main lagi selepas ini, saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi yang terbaik kepada pasukan dan pemain lain,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang Kuala Lumpur, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.
Sementara itu, Bojan menyifatkan, perlawanan malam kelmarin tidak boleh menjadi ukuran kerana pemain masih lagi penat manakala Kuala Lumpur yang mempunyai masa rehat dilihat memberi saingan sengit.
Jurulatih berpengalaman dari Croatia itu berkata, untuk aksi seterusnya pemain perlu tingkatkan kualiti persembahan berikutan, perlawanan yang lebih mencabar menanti pasukan gergasi pantai timur itu termasuk berdepan Perak dalam saingan Liga Super 17 Mac ini.
“Kami ada banyak peluang tapi ia tidak dapat disudahkan dengan baik. Namun saya tidak mengukur keupayaan pemain kerana faktor keletihan memberi kesan pada perlawanan malam ini (kelmarin),” katanya.
No comments:
Post a Comment