MASALAH kecederaan beberapa tonggak menghantui pasukan skuad Penyu membuatkan jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris pening memikirkan barisan terbaik menjelang suku akhir pertama Piala FA menentang Lions XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Terbaru, penyerang lincah mereka, Abdul Manaf Mamat tidak akan dapat diturunkan dalam pertembungan itu akibat kecederaan buku lali ketika aksi menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Selasa lalu.
Turut mengalami kecederaan dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva namun Mat Zan masih menunggu keputusan terakhir petang ini (kelmarin) sama ada kedua-duanya dapat diturunkan atau tidak.
Mat Zan berkata, kebangkitan mendadak Lions XII dalam saingan Liga Super satu tugas berat buat skuad Penyu dan apa yang harus dilakukan hanyalah membariskan barisan terbaik dalam pertembungan itu.
“Walaupun kita mengalahkan mereka 1-0 pada awal saingan Liga Super namun itu cerita lama dan saya minta pemain tidak mengambil mudah pasukan ini yang kini berada di tangga kedua liga,” katanya.
Katanya, biarpun Penyu tumbang di laman sendiri dalam kancah Piala AFC selepas tumpas 0-2 kepada Kitchee FC tempoh hari namun kekecewaan itu sudah dilupakan pemain dan anak buahnya bertekad menebusnya dalam perlawanan ini.
No comments:
Post a Comment