Thursday, March 8, 2012

Khairul gesa peminat Seladang bersabar


Harian Metro

TELAN mati mak luah mati bapa! Mungkin itulah yang dirasakan pengurus Perak, Khairul Azwan Harun gara-gara gagal boleh berbuat apa-apa pada masa ini kerana tidak boleh menukar pemain import sehingga tingkap perpindahan dibuka April depan.


Walaupun mengakui ketumpulan jentera serangan Seladang akan menjejas pencapaian pasukan, Khairul Azwan terpaksa bersabar untuk seketika.




Daripada 10 perlawanan termasuk satu perlawanan Piala FA, anak buah Norizan Bakar baru menjaringkan 12 gol sambil dibolosi 10 kali.


“Suka tidak suka kami terpaksa teruskan juga dengan pemain yang ada sambil berharap mereka meningkat,” katanya.

Tanpa perlu menyatakan secara khusus, umum maklum pemain yang dimaksudkan ialah penyerang Serbia, Lazar Popovic yang masih mengalami kemarau jaringan selepas 10 perlawanan termasuk satu dalam saingan Piala FA.


Pemain tinggi lampai yang diharapkan menjadi jawapan kepada ketumpulan jentera serangan Seladang setakat ini gagal membalas pelaburan pasukan Kejor Yob Kejor dengan sumbangan gol.





Sebaliknya seorang lagi pemain import, Michal Kubala lebih menyerlah apabila sudah menyumbat lima gol untuk Seladang, setakat ini.

Gejala itu menyaksikan peminat Perak mengecam keras Popovic dan mendesak Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) segera menamatkan kontrak pemain itu.




Bagaimanapun ia tidak semudah diungkapkan kerana ia membabitkan perjanjian yang sudah dimeterai selain peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Bukan boleh buat sesuka hati. Bila tiba masanya nanti satu keputusan akan dibuat.


“Buat sementara ini semua orang termasuk peminat kena bersabar dan berdoa pasukan terus mencapai kejayaan,” katanya.


Berikutan ketumpulan jentera serangan menyaksikan Perak yang seri 2-2 dengan PKNS FC, Sabtu lalu turun ke tangga keempat dari kedudukan kedua liga elit 14 pasukan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...