Monday, March 26, 2012

Rusa ikat Persebaya


Harian Metro 


NEGERI Sembilan berjaya mengimbangi kehebatan Persebaya FC apabila mencatatkan keputusan seri 2-2- dalam perlawanan persahabatan pertama Siri Nusantara, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.


Ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama tidak menghalang pemain skuad Rusa untuk bangkit menyamakan kedudukan dan ayam tambatan Jean-Emmanuel Effa Owona muncul penyelamat pasukan itu.


Begitupun persembahan pemain Persebaya nyata memukau kira-kira 10,000 penonton menerusi aksi lincah dan kawalan bola yang baik pemain skuad Liga Perdana Indonesia itu jelas gagal disaingi skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah apabila mereka dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan.




Sebaik saingan bermula, M Khalil hampir memecah benteng Negeri Sembilan pada minit ke-5 tetapi gerakan solonya berjaya dipatahkan pertahanan Negeri Sembilan, Marian Farbak.

Namun gerakan Persebaya tidak terhenti sebaliknya misi memburu gol bertali arus dan kubu Negeri Sembilan tersentak apabila Mario Karlovic menjaringkan gol pertama pelawat pada minit ke-9 selepas menerima hantaran lintang Fernando Soler untuk menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Badrul Zaman Abdul Halim.


Negeri Sembilan yang tidak dapat menurunkan dua tonggak berpengalaman Shukor Adan dan Norhafiz Zaman Misbah, dilihat kucar kacir apabila barisan depan Persebaya yang diterajui Andik Vermanshah bertali arus melakukan serangan.





Malah larian pantas yang dipamerkan pemain pelawat menyukarkan pemain Negeri Sembilan untuk menyekat keghairahan Persebaya.

Peluang Negeri Sembilan menyamakan kedudukan diperoleh pada minit ke-20 menerusi sepakan sudut tetapi tandukan Jean-Emmanuel Effa Owono tidak menepati sasaran.




Usaha Negeri sembilan untuk menembusi benteng pelawat terus tidak kesampaian sebaliknya M Khalil menambah derita tuan rumah apabila menyudahkan hantaran lintang Mario untuk menjaringkan gol kedua Persebaya seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Tertekan dengan misi mempertahankan maruah pasukan, persembahan separuh masa kedua sedikit berubah apabila Negeri Sembilan memperkemaskan barisan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Effa pada minit ke-52.


Begitupun, Persebaya terus berusaha menambah jaringan namun penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias yang masuk pada separuh masa kedua diuji beberapa kali untuk menyelamatkan kubu Negeri Sembilan.


Effa membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol cantik menerusi tendangan bebas dari jarak kira-kira 25 meter untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-73.


Keputusan seri 2-2 itu kekal hingga wisel penamat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...