Monday, March 26, 2012

Mat Zan akui hadapi tugas sukar


Harian Metro 


PENYANDANG juara Piala FA musim lalu, Terengganu tetap berpeluang melangkah ke separuh akhir dalam misi mempertahankan trofi itu musim ini, namun tugas berat bakal dilalui anak buah Mat Zan Mat Aris apabila berkunjung ke Singapura bertemu Lions XII, malam esok dalam saingan suku akhir kedua.


Kemenangan 1-0 ke atas pasukan itu, malam kelmarin hasil jaringan Joseph Kalang Tie belum cukup buat Terengganu sebaliknya perlu menggandakan asakan untuk mara ke separuh akhir.


Sebelum itu, barisan Penyu patut menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan menambah gol pada aksi suku akhir pertama di laman sendiri biarpun lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kaptennya, Hariss Harun dibuang padang pada awal babak kedua. dan senario ini jelas menampakkan bukan tugas mudah buat Terengganu berdepan wakil Singapura itu. Hal ini diakui Mat Zan yang enggan mendabik dada biarpun mempunyai kelebihan satu jaringan sebaliknya mengakui laluan getir kelak.




“Kita hanya menang tipis, ia belum selesa dan selamat, sebaliknya ujian getir bakal ditempuhi pemain 90 minit lagi di laman lawan untuk melangkah ke separuh akhir,” katanya. yang berkerut dahi melihat anak buahnya bermandi peluh untuk menghasilkan satu gol.

Selain itu, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, bemain di laman lawan bukan satu tugas mudah walaupun Terengganu membawa bekalan satu gol dan pernah menundukkan pasukan itu dalam saingan Liga Super di tempat lawan sebelum ini.


“Lawan adalah sebuah pasukan yang kuat dan mantap, sebarang kealpaan bakal mengundang padah, justeru saya mengharapkan pemain mengekalkan fokus 100 peratus dan bermain bermati-matian untuk mempertahankan kelebihan satu gol itu serta menambah jaringan.





“Selain itu, saya juga berharap pemain berwaspada strategi yang dirangka lawan yang mahu membalas dendam kekalahan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, dalam keresahan memikirkan strategi yang bakal diterapkan malam esok, beliau yakin anak buahnya mampu mengulangi kejayaan.




“Secara psikologi kita berdepan kesukaran untuk menundukkan lawan yang jelas liat untuk ditewaskan, apatah lagi bertandang ke gelanggang lawan, namun strategi dan taktikal berbeza bakal diterapkan untuk menyaingi ancaman lawan,” katanya.

Sementara itu, T-Team juga berpeluang cerah untuk layak ke separuh akhir selepas berjaya mengikat Kedah 0-0 di laman lawan.


Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, kini terletak kepada pemain untuk mengambil kesempatan bermain di laman sendiri untuk mengisi satu slot separuh akhir.


“Saya optimis T-Team mampu melakukannya berdasarkan prestasi semasa dan komitmen tinggi pemain selepas tersekat di pusingan pertama musim lalu kepada Kelantan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...