SKUAD kendalian Datuk K. Rajago- bal perlu diberi pujian meskipun sekadar seri 1-1 dengan Sarawak pada aksi persahabatan di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching malam tadi.
Bermain tanpa beberapa tonggak utama, skuad Harimau Malaya tetap mempamerkan satu persembahan yang cemerlang, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sejak Februari lalu.
Skuad 'eksperimen' ini tampil tanpa kelibat Norshahrul Idlan Talaha, Ashaari Samsudin dan Abdul Manaf Mamat.
Dalam pada itu, Sarawak yang dibimbing Robert Rene Alberts juga perlu diberikan perhatian kerana berjaya mempamerkan satu persembahan yang memberangsangkan.
Pada aksi separuh pertama malam tadi, Sarawak tampil garang dengan melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke mengasak gawang Harimau Malaya.
Begitupun, tiada percubaan tepat yang dilakukan bagi menguji penjaga gol negara, Mohd. Farizal Marlias.
Sarawak yang menguasai sebahagian besar perlawanan kerap menguji kewibawaan benteng pertahanan Harimau Malaya tetapi menamatkan aksi babak pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad kendalian Rajagobal akhirnya berjaya mendahului menerusi pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Venice Delphi Danny Kaya menghukum pertahanan Sarawak apabila berjaya menolak bola ke dalam gawang pada minit ke-65.
Bujang Senang yang tersentak dengan jaringan tersebut bingkas mengatur serangan dan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Gol penyamaan itu diperoleh menerusi pemain import, Joel Epalle untuk menewaskan penjaga gol gantian, Syed Adney Syed Hussein.
Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan memburu gol kemenangan tetapi tiada jaringan berjaya dilakar, sekali gus menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga akhir perlawanan.
Selepas bertemu Sarawak, Harimau Malaya akan menentang Singapura pada 8 dan 12 Jun depan.
No comments:
Post a Comment