Saturday, March 10, 2012

Manaf tangguh bulan madu


Harian Metro

PENYERANG Terengganu, Manaf Mamat memilih untuk menunda rancangan bulan madunya hingga selepas pasukannya bertemu Perak dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam ini.


Pemain berusia 25 tahun itu yang mengikat tali pernikahan dengan Sabihah Johan, juga 25 tahun di Taman Permint Jaya, Kuala Terengganu, semalam menganggap perlawanan menentang Perak terlalu penting bukan saja untuknya, malah isterinya juga.




Menurut penjaring gol kemenangan Terengganu ketika menewaskan pasukan Song Lam Nghe An, 1-0 dalam perlawanan pembukaan Piala AFC di Vinh, Vietnam, Selasa lalu, semua peminat termasuk isterinya mengharapkan pasukan mereka mara ke pusingan seterusnya.




“Kami juara bertahan Piala FA dan mungkin terlalu ramai penyokong yang enggan memaafkan kami sekiranya gagal menundukkan Perak dan menempah tiket ke suku akhir.

“Kami tahu Perak bukan calang-calang lawan dan menjadi kewajipan kami melakukan apa yang terdaya untuk sekali lagi meraih kejayaan,” katanya.


Katanya, dia tidak pasti sekiranya jurulatih, Mat Zan Mat Aris akan menyenaraikannya dalam kesebelasan utama ataupun diletak di bangku simpanan.





“Kalau boleh memang saya mahu bermain daripada wisel pertama lagi kerana selepas menjaringkan gol pertama musim ini di Vietnam beberapa hari lalu, saya semakin bersemangat untuk melakukan jaringan lagi.

“Namun, semua keputusan terletak di tangan jurulatih dan sebagai pemain profesional, saya akur dengan tugasan yang diberikan,” katanya.




Sementara itu, Mat Zan berkata, pertukaran pemain mungkin tidak boleh dielak kerana ramai yang keletihan selepas bermain dua perlawanan di Melaka dan Vietnam minggu ini.

Katanya, hampir semua pemain boleh diturunkan kecuali penjaga gol Sarbinee Allawee dan ketua pasukan, Marzuki Yusof.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...