Friday, March 9, 2012
Bukan halangan
FAKTOR jadual perlawanan yang padat tidak akan menjadi alasan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat serta rakan sepasukan untuk tidak mempamerkan aksi terbaik bagi mengatasi Kuala Lumpur dalam pusingan kedua Piala FA di laman sendiri, malam esok.
Pertemuan merebut tiket ke suku akhir itu menjadi perlawanan ketiga buat kapten skuad Olimpik negara itu serta beberapa tonggak The Red Warriors dalam tempoh seminggu selepas saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Navibank Saigon, kelmarin dan Liga Super menentang Negeri Sembilan, Ahad lalu. Bagaimanapun dia yang turut dijadual beraksi menentang Syria dalam aksi penutup kelayakan Olimpik London pada Rabu depan mengaku ia sesuatu yang meletihkan terutamanya selepas aksi menentang Navibank Saigon yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
“Tiga perlawanan dalam tempoh seminggu memang meletihkan namun ia tidak boleh dijadikan alasan, kami perlu memulihkan tahap kecergasan secepat mungkin. Kuala Lumpur tidak boleh dipandang rendah kerana semakin mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Kelantan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Sarawak manakala Kuala Lumpur menyingkirkan pesaing Liga Perdana, MP Muar.
Sementara itu mengenai aksi menentang Syria, Khairul Fahmi menegaskan semua pemain masih bersemangat walaupun perlawanan itu tidak memberikan sebarang makna.
“Seboleh-bolehnya biarlah kami mengutip mata selain menjadi proses pembelajaran dan mengutip pengalaman,” katanya yang dijadual melaporkan diri bersama skuad Olimpik pada Ahad ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment