PEMAIN import dari Ghana, Hamidan Mohammed membuktikan khidmatnya masih diperlukan Kedah apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan T-Team, 2-1 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Kedah yang berputih mata kerana mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri ketika seri tanpa jaringan pada pertemuan suku akhir pertama sebelum ini memulakan asakan menerusi percubaan pemain tengah Mohd Faizal Abu Bakar namun rembatan leretnya di awal permainan sedikit tersasar.
Namun penguasaan pasukan pelawat mula kendur apabila T-Team yang dikendalikan Yunus Alif mula melancarkan asakan yang digerakkan ketua pasukan, Zairo Anuar Zalani.
Zairo hampir meletakkan pasukan tuan rumah di depan jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias yang menepis bola sepakan percuma pada minit ke-37.
Bersambung babak kedua, permainan bertambah rancak dengan Kedah terlebih dulu mengancam menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti pemain import Perancis, Abdulfatah Safi, namun penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri Mustafa sudah bersedia lebih awal.
Serangan balas anak buah Wan Jamak Wan Hassan pada minit ke-65 akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran Safi berjaya dikawal baik Hamidan Mohammed dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan menewaskan Syamsuri.
Kelebihan satu gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain tengah, Azrul Hazran Amiludin Baki yang tidak dikawal, mudah menolak bola ke dalam gawang Kedah untuk menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Namun Hamidan, yang menerima amaran keras kemungkinan digugurkan pihak pengurusan Kedah kerana aksi hambar sebelum ini, menyumbat gol kemenangan pada minit ke-81 selepas menanduk masuk hantaran Safi dari sebelah kanan.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Terengganu dengan Sime Darby FC. Terengganu menang dengan agregat 1-0 ke atas LionsXII selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Singapura, malam tadi. Sime Darby pula menewaskan tuan rumah, Johor FC, 2-1 di Pasir Gudang untuk mara dengan agregat 5-3.
No comments:
Post a Comment