Thursday, March 29, 2012
Penonton bola sepak ditangkap kerana berkelakuan tak senonoh
POLIS telah menahan seorang lelaki warga Singapura kerana berkelakuan tidak senonoh semasa perlawanan bola sepak peringkat suku akhir Piala FA Malaysia yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, kelmarin.
Kenyataan bersama polis dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) malam tadi menyatakan hasil siasatan menunjukkan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu telah ke stadium bagi menyaksikan perlawanan antara SingaXII dan Terengganu.
Selepas perlawanan berakhir, dia dilihat keluar dari stadium sambil menjerit kata-kata tidak senonoh dan menunjukkan isyarat cabul dengan menggunakan tangannya terhadap para penyokong Malaysia yang duduk di stadium.Para pegawai keselamatan yang bertugas kemudian menghampiri dan menasihatinya supaya bertenang.
Dia bagaimanapun tidak mengendahkan amaran mereka itu dan meneruskan sikap kasarnya - melaung dengan kuat dan menggunakan isyarat tangan.Para pegawai polis yang berada di tempat kejadian serta-merta campur tangan tetapi lelaki berkenaan terus menjerit sekuat hati dan menimbulkan kekacauan.
Dia kemudian ditahan kerana bersikap tidak senonoh dan dibawa ke balai polis.
Perlawanan malam kelmarin berkesudahan 0-0.
Terengganu mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 1-0 selepas mengecapi kemenangan pada perlawanan pertama di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana berkelakuan tidak senonoh.
Jika disabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih $1,000 atau dipenjara tidak lebih sebulan.
Sekiranya ini adalah kesalahan kali kedua atau ulangan, dia boleh didenda tidak lebih $2,000 dan dipenjara tidak melebihi enam bulan.
Polis mengingatkan penyokong dan penonton agar berkelakuan baik dan tidak mengganggu ketenteraman semasa menyaksikan perlawanan dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat kacau.
FAS dalam pada itu mengingatkan peri pentingnya menjaga keselamatan penyokong, termasuk penyokong asing dan pasukan-pasukan terbabit.
'FAS ingin menekankan lagi bahawa mana-mana penyokong yang menggunakan bahasa kesat, mencetus keganasan, mencederakan atau melemparkan kata-kata kesat ke atas mana-mana kakitangan atau pegawai FAS akan dirujukkan kepada pihak berkuasa,' ujar FAS dalam kenyataan itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment