Wednesday, March 7, 2012

LionsXII garang di laman sendiri


Harian Metro

LIONSXII membuktikan kehadiran mereka mampu memberikan cabaran untuk merebut kejuaraan Liga Super musim ini apabila melonjak ke tangga kedua selepas menumbangkan Felda United, 3-1 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.


Selepas sembilan perlawanan, skuad kendalian V Sundramoorthy yang membuat penampilan pertama musim ini, hanya ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu Liga Super, Kelantan dan terikat 17 mata bersama Terengganu yang berada di tempat ketiga.




Tuan rumah membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Harris Harun yang mudah menolak bola menerjah gawang Felda United yang dikawal Mohd Hamsani Ahmad berikutan kekalutan di depan pintu gol sekali gus membakar semangat pelawat apabila bangkit melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.




Peluang awal menyamakan kedudukan hadir menerusi tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-10 namun sedikit tersasar dan skuad kendalian E Elavarasan itu terpaksa menunggu hingga minit ke-20 apabila sepakan percuma Raimi Md Nor berjaya menggegar gawang gol untuk memastikan kedudukan terikat 1-1 pada babak pertama.

Kemampuan Felda United menyaingi rentak permainan LionsXII diharapkan berterusan dalam baki 45 minit namun sebaliknya yang berlaku apabila tuan rumah meledak dua jaringan untuk memastikan kemenangan.


Mohd Hamsani tertewas buat kali kedua pada minit ke-51 apabila rembatan Shahdan Sulaiman dari luar kotak penalti ditampan Sufian Anuar untuk menerjah jaring sebelum kapten LionsXII, Shahril Ishak menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-67.





Dua jaringan terbabit terus menenggelamkan cabaran pelawat dan ketika mereka beraksi 10 pemain dalam 10 minit terakhir selepas Farderin Kadir dikeluarkan kerana kecederaan, pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85 namun kali ini berjaya dinafikan Mohd Hamsani.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...