Tuesday, March 13, 2012

Terengganu bersedia


Harian Metro

BIARPUN tempoh perlawanan suku akhir pertama bertemu Lions XII 24 Mac ini, juara Piala FA musim lalu, Terengganu awal-awal lagi sudah membuat persiapan rapi dalam misi melayakkan diri ke separuh akhir.


Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris berkata, meskipun Terengganu pernah mencatat kemenangan 1-0 dalam saingan Liga Super ke atas wakil Singapura itu, tidak bermakna barisannya mengambil mudah pertemuan itu.




“Saya tidak mahu ambil risiko, sebaliknya akan membuat persiapan awal merancang strategi dan taktikal untuk menewaskan lawan yang semakin menunjukkan peningkatan.




“Kejayaan LionsXII itu berada di tangga kedua berbanding Terengganu ketiga, jelas membuktikan skuad itu semakin garang dan harus disekat pada perlawanan pertama di Kuala Terengganu sebelum bertandang ke Singapura pada 27 Mac ini,” katanya.

Tambah merisaukan pengendali berusia 54 tahun itu adalah kecederaan serius empat pemain utamanya yang perlu berehat kira-kira dua bulan selepas menjalani pembedahan.


“Kapten, Marzuki Yusof, Reesyafiq Alwi dan Ahmad Nordin Alias serta pemenang kasut emas musim lalu, Abdul Hadi Yahya, bakal berehat panjang selepas menjalani pembedahan, manakala penjaga gol utama, Mohd Sharbinnee Allawee Ramli dan Abdul Manaf Mamat, masih lagi bergelut dengan kecederaan.





“Kecederaan yang dialami enam pemain utama meresahkan saya kerana dalam bulan ini ada tiga perlawanan penting iaitu suku akhir Piala FA dan Piala AFC bertemu kelab dari Hong Kong, Kitchee di Kuala Terengganu, 20 Mac ini,” katanya.

Mat Zan berkata, untuk mengelak skuadnya tempang, beliau akan melakukan beberapa rombakan termasuk menyenaraikan pemain simpanan menggantikan pemain utama.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...