Tuesday, March 20, 2012

Rajagobal intai gergasi Asia


Harian Metro 


AKSI persahabatan menentang pasukan gergasi Asia yang melayakkan diri ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2014 menjadi harapan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal dalam usaha memantapkan persembahan skuad negara.


“Kami perlu mengambil kesempatan dengan berlangsungnya perlawanan pusingan akhir itu. Ada 10 negara mara ke peringkat itu, mungkin terdapat negara yang mahu ‘memanaskan badan’ sebelum menentang Jepun, Iran atau sebagainya. Ini kesempatan untuk kami,” katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad negara petang semalam.


Antara negara yang berada pada peringkat itu adalah Uzbekistan, Korea Selatan, Qatar, Lubnan, Iran, Oman, Jordan serta Australia yang pernah menewaskan skuad negara dengan keputusan 5-0 dalam aksi persahabatan tahun lalu.




“Ketika lawan Australia, saya tidak menurunkan kesebelasan utama. Bukan saya mahu memberikan alasan, perkara ini akan terjadi kepada mana-mana pasukan. Kami kena teruskan, lupakan yang sudah berlalu. Saya rasa adalah bermanfaat apabila menentang pasukan terbaik di dunia,” katanya yang turut mengintai aksi menentang kelab Jepun dan Korea pada pertengahan tahun ini.

Ditanya mengenai faedah yang diperolehnya apabila menentang pasukan tempatan termasuk Sarawak, Sabtu ini, Rajagobal berkata salah satu tujuannya adalah untuk melihat pemain selepas mengalami situasi yang sukar dibelenggu kecederaan pemain ketika aksi Sukan Sea 2009, Sukan Asia 2010 dan Piala AFF 2010.


“Kalau boleh saya mahukan empat pemain dalam setiap posisi. Sekarang dengan cara ini, saya sudah mengenali mana kekuatan setiap pemain, mentaliti, karakter dan kekurangan. Setakat ini kami sudah mencuba 65 pemain. Malah tiada faedahnya jika sekadar menjalani latihan tanpa aksi perlawanan, ia tidak akan memberikan motivasi kepada pemain,” katanya.




Skuad negara menggalas misi penting penghujung tahun ini bagi mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang dimenangi dua tahun lalu namun keputusan perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini mencetuskan kegelisahan di kalangan peminat tempatan.

“Anda kena faham, apabila tiba masanya mereka akan berada di puncak prestasi,” katanya.




Seramai 20 pemain melaporkan diri kecuali empat tonggak Selangor yang dijadualkan menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar malam ini.

Manakala mengenai aksi persahabatan Negeri Sembilan menentang kelab Indonesia, Persebaya pada Ahad, Rajagobal berkata lima pemain utama pasukan iaitu Ahmad Shakir Md Ali, Mohd Farizal Marlias, Shahurain Abu Samah, S Kunanlan dan G Mahathevan akan diterbangkan ke Kuching kerana sehingga petang semalam masih belum menerima sebarang maklumat mengenainya.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...