Monday, March 12, 2012

Titik mula kebangkitan Johor FC


Harian Metro

WALAUPUN terpaksa bertarung selama 103 minit termasuk masa tambahan dengan hanya 10 pemain, Johor FC mampu menyingkirkan Selangor menerusi sepakan penalti 5-4 untuk layak ke suku akhir selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.


Apa yang disajikan oleh anak didik K Devan penuh dramatik biarpun ketinggalan 0-2 selepas Selangor mengambil kesempatan ketika skuad Lebah bergelut dengan hanya 10 pemain menerusi jaringan Azidan Sarudin minit ke-30 dan Asaruddin Putra Omar minit ke-65.




Namun gol itu ibarat pencetus semangat apabila Devan yang dianggap memiliki sentuhan ‘magis’ bingkas membuat percaturan baru dan hasilnya Ahmad Fauzi Saari mencipta gol pada minit ke-58 dan Arthuro Hen rique menyamakan jaringan m-65 untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.




Biarpun diasak oleh anak didik Irfan Bakti Abu Salim sepanjang aksi masa tambahan, benteng pertahanan tuan rumah begitu kental dan hampir juga mencipta jaringan apabila pantas melakukan serangan balas ke kubu Selangor.

Bagi Devan kemenangan itu cukup bermakna bukan saja kepada dirinya tetapi semua pemain yang bertungkus lumus dan tidak mengenal erti kekecewaan beraksi dengan 10 pemain selepas Azi Shahril Azmi dilayangkan kad merah akibat mengutip kad kuning kedua pada minit ke-17.


“Ia adalah titik kebangkitan Johor FC dan saya lihat pemain begitu bersemangat dan mempamer karakter sebenar selaku pemain profesional yang mampu mengubah nasib Johor FC pada saingan Liga Super dan memburu tempat ke final Piala FA,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...