PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee bakal mempertaruhkan barisan terbaik apabila berdepan Young Lions bagi aksi Liga Singapura di Stadium Yishun, malam ini.
Selepas hanya mampu mencatat dua keputusan seri menentang Albirex Niigata 0-0 dan terbaru Brunei DPMM FC (1-1), Kim Swee tidak rela nasib yang sama terus berulang buat barisan pemain mudanya, sebaliknya sudah ada perancangan menurunkan kesebelasan utama memburu kemenangan.
“Saya sudah ada pilihan dengan kepulangan (A Thamil) Arasu malah kelibat Ahmad Hazwan (Bakri) yang baru pulih daripada kecederaan sudah menampakkan keberkesanan apabila diturunkan ketika aksi menentang Brunei DPMM FC.
“Buat masa ini tidak ada pemain yang alami kecederaan serius dan kesempatan itu saya akan memastikan barisan pemain yang terbaik mencari tiga mata selepas dua perlawanan lalu berkesudahan keputusan seri namun pemain harus berwaspada supaya tidak melakukan kesilapan muda,” katanya.
Bagaimanapun, Kim Swee tetap menghormati skuad muda Singapura itu biarpun pasukan bimbingan Robin Chitrakar masih buntu mencipta kemenangan pertama selepas mengharungi tiga perlawanan manakala Harimau Muda pasti ingin mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan.
Beliau juga menganggap pertembungan Harimau Muda-Young Lions sememangnya dinanti tatkala barisan pemain kedua-dua pasukan adalah pelapis utama skuad senior dan pastinya corak permainan pantas disajikan bagi memburu kemenangan.
“Saya harus pastikan pemain sudah bersedia dan tempoh 90 minit dan aksi itu amat penting buat pemain Harimau Muda seandai ingin mencipta kemenangan bagi melonjak kedudukkan di kelompok teratas liga,” kata Kim Swee.
No comments:
Post a Comment