KEHILANGAN beberapa tonggak utama nyata tidak mengundang resah kepada pengendali baru Kelantan, Bojan Hodak dalam misi mencari kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang kelab Vietnam, Navibank Saigon, jam 8.45 malam ini.
Tiga tonggak kesebelasan utama Kelantan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Aziz Ismail dan S Subramaniam sudah pasti terlepas pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu kerana kecederaan selain pemain pertahanan kanan, Mohd Daudsu Jamaluddin belum pasti diturunkan selepas mengalami kemalangan jalan raya, kelmarin.
Kekuatan juara bertahan Liga Super itu bagaimanapun dijangka tidak terjejas dan Hodak memiliki ramai pemain berkualiti terutamanya dengan kehadiran dua lagi penyerang import, Mohamad Ghaddar dan Danny Antwi bagi menggalas cabaran pasukan.
“Dalam saingan liga, kami berada di tangga teratas, setiap perlawanan menghadirkan tekanan dengan lawan mempamerkan aksi 200 peratus. Ini aksi pertama Kelantan di pentas Piala AFC, tiada harapan tinggi dan keajaiban diletakkan, saya harap pemain dapat turun mengharungi perlawanan dengan lebih tenang dan permainan berkualiti dapat dipamerkan.
“Pertemuan ini menampilkan dua pasukan yang lebih baik dan berkualiti dalam Kumpulan H. Saya rasa kami (Kelantan dan Navibank Saigon) akan layak ke peringkat seterusnya berbanding dua lagi kelab dalam kumpulan ini iaitu Arema (Indonesia) dan Ayeyawady United (Myanmar),” kata Hodak yang tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan ini namun mengaku kemampuan melepasi saingan peringkat kumpulan sudah memadai.
Mengenai cabaran yang bakal diberikan Navibank Saigon, pengendali yang baru dilantik itu berkata, lawan pada musim ini tidak sebagus seperti tahun sebelumnya walaupun mempunyai barisan pemain berkualiti.
“Secara individu, pemain lawan memang mempunyai kemahiran bagus, namun sebaliknya secara berpasukan,” kata pengendali kelahiran Croatia itu yang percaya Kelantan bakal mendapat sokongan padu penyokongnya walaupun terpaksa beraksi di Stadium Nasional selepas gelanggang sendiri di Kota Bahru belum mendapat kelulusan AFC.
No comments:
Post a Comment