TIDAK ada apa perlu dibanggakan dengan rekod tanpa kalah Harimau Muda A dalam kempen Liga Singapura (Liga-S) setakat ini kerana jurulatih Ong Kim Swee mahu mengingatkan anak buahnya supaya tidak mudah puas hati dengan pencapaian itu.
Pengendali itu nyata kurang senang dengan aksi skuad kendaliannya meskipun mencatat kemenangan ke atas Young Lions, 3-1 di Stadium Yishun kelmarin untuk berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 11 mata selepas lima perlawanan.
“Kami ketinggalan 1-0 pada babak pertama kerana kesilapan pemain yang mengambil mudah kemampuan pasukan lawan. Bagaimanapun pemain berjaya bangkit untuk mencipta kemenangan dan ini satu karektor yang bagus di mana walaupun ketinggalan, pemain tetap terus berusaha.
“Walaupun kami mengekalkan rekod tanpa kalah, saingan liga masih awal kerana selepas ini kami akan berdepan dua perlawanan sukar menentang Singapore Armed Forces dan Home United. “Saya harap semua pemain meningkatkan prestasi jika mahu terus memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya.
Dalam pertemuan dengan Young Lions, Harimau Muda A ketinggalan menerusi jaringan Jonathan Toto pada minit ke-16 sebelum pemain gantian Mohd Nazmi Faiz Mansor menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Harimau Muda A kemudian mendahului pada minit ke-74 hasil jaringan Fandi Othman sebelum Nazmi mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga pada minit ke-81.
“Saya tidak menyenaraikan Nazmi kerana dia agak keletihan selepas beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini tapi terpaksa memasukkannya lebih awal kerana kita sudah ketinggalan 0-1. Bagi saya Nazmi pemain serba boleh dan berharap prestasi seperti ini dapat diteruskan,” kata Kim Swee.
No comments:
Post a Comment