BEKAS penjaga gawang PKNS dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Nizam Daud bakal menjadi anggota terbaru skuad Liga Perdana Perlis selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada sesi pemilihan terbuka, baru-baru ini.
Ketua jurulatih Perlis, Abdullah Hassan yang mengesahkan kehadiran penjaga gawang berusia 26 tahun itu berkata, kelibat Mohd Nizam diperlukan bagi memantapkan cabaran menghadapi kempen Liga Malaysia.
Katanya, Mohd Nizam adalah antara nama dilihat memiliki keupayaan selain pengalaman serta ciri-ciri diperlukan pada sesi pemilihan terbuka yang menyaksikan lebih 120 pemain dari seluruh negara mencuba nasib.
“Kita memerlukan sekurang-kurangnya seorang lagi penjaga gol bagi memastikan posisi itu lebih mantap biarpun sudah ada Kamarul Hilmi Adnan dan Hairol Fazreen Abu Hassan,” katanya.
Mohd Nizam pernah diberi kepercayaan untuk menyarung jersi PKNS di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim selama dua tahun, dari 2008 sebelum menyarung jersi ATM bagi musim 2010 dan 2011.
Abdullah berkata, biarpun pintu pendaftaran baru kepada semua pasukan negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga M hanya dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) April ini namun ia mempunyai sedikit perbezaan untuk posisi itu.
“Pendafataran posisi penjaga gawang ia diberi sedikit kelonggaran untuk mendaftar lebih awal.
“Justeru, Mohd Nizam akan didaftar secepat mungkin dengan FAM bagi membolehkannya disenaraikan untuk perlawanan selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment