Wednesday, March 28, 2012

Penyu buat LionsXII putih mata


Harian Metro

LANGKAH Terengganu ke separuh akhir Piala FA gagal disekat LionsXII apabila layak dengan agregat 1-0 selepas pertemuan kedua berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.


Tanpa menurunkan penjaring gol tunggal, Joseph Kallang Tie pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Sabtu lalu, barisan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris berjaya memastikan kubu mereka tidak dibolos dalam perlawanan yang jelas didominasi pasukan tuan rumah.


Anak didik V Sundramoorthy bermula garang apabila menguasai perlawanan dengan asakan bertubi-tubi ke kawasan Terengganu dalam tempoh 10 minit babak pertama namun benteng Peteh yang diterajui Mohd Muslim Ahmad dan Hasnizam Kamarodin sukar ditembusi.




Peluang LionsXII merungkai jaringan hadir pada minit ke-16 selepas sepakan lintang Irwan Shah tepat menuju ke Khairul Nizam dan dia berjaya meloloskan diri dari kawalan Mohd Muslim namun penyerang tuan rumah itu sekadar merembat bola lemah.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris yang tampak tertekan dengan asakan bertali arus LionsXII mula mengatur serang balas, namun kelincahan pemain importnya, Francis Franky Doe sering disekat pertahanan tuan rumah yang sentiasa mengawasi pergerakan ayam tambatan skuad Peteh itu.


Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menguasai perlawanan dan terdesak mencari gol dengan kelibat Shahril Ishak yang menjadi taruhan menguatkan barisan serangan dimasukkan bagi menggantikan Safirul Sulaiman. Namun Terengganu bagaikan tidak risau dengan penyerang berbisa tuan rumah itu sebaliknya mencemaskan gawang gol LionsXII pada minit ke-61 menerusi sepakan percuma Erison Da Silva yang sedikit tersasar.



Percubaan terakhir LionsXII hadir pada minitk ke-89 tapi sepakan percuma Irwan Shah gagal ditanduk kemas Madhu Mohana ketika penjaga gol, Sharbinee Alllawee tampak sudah tertewas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...