KOTA BHARU - Bojan Hodak membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila membawa Kelantan mara ke pentas final Piala FA.
Kejayaan tersebut meletakkan skuad bimbingannya berada pada kelas tersendiri apabila layak ke pentas akhir Piala FA kali ketiga berturut-turut.
Red Warriors layak ke final menerusi kelebihan jaringan tempat lawan selepas seri 2-2 dengan Kedah dalam aksi dramatik separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.
Pada separuh akhir pertama, Kelantan dan Kedah terikat juga terikat 1-1 Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Lebih manis, legasi kecemerlangan yang ditinggalkan jurulatih sebelum ini seperti Datuk M.Karathu, B.Sathianathan serta Peter Butler berjaya diteruskan oleh Bojan.
Hodak memuji barisan pemainnya yang bangkit selepas dikejutkan dengan jaringan tuan rumah menerusi Khyril Muhymeen Zambri pada babak pertama perlawanan kelmarin.
Menurutnya, jaringan tuan rumah merentap semangat pemainnya yang mahu mendapatkan jaringan awal.
"Saya akui babak pertama kami tidak beraksi dengan baik, namun ia segera memperbaikinya pada babak kedua dan hasilnya kami meraih jaringan menerusi Nwaneri Obinna.
"Gol tersebut menyuntik semangat pemain Kelantan dan mempamerkan kebangkitan yang menyaksikan kami berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohammad Ghaddar," katanya.
Pada perlawanan tersebut, tuan rumah mendahului menerusi dua jaringan Khyril Muhymeen pada minit ke-31 dan ke-42.
Ia meletakkan Kedah selesa dengan kedudukan agregat 3-1.
Kelantan bangkit pada babak kedua apabila Nwaneri berjaya mendapatkan gol semangat buat pasukannya selepas melonjak tinggi untuk menanduk bola sepak sudut Indra Putra Pada minit ke-47.
Jaringan Mohammad Ghaddar pada minit ke-61 memastikan Kelantan mara ke pentas final Piala FA musim ini dengan kelebihan peraturan jaringan ditempat lawan.
No comments:
Post a Comment