KERAJAAN negeri Kelantan bangga dengan pencapaian konsisten pasukan The Red Warriors (TRW) yang sekali lagi mengulangi kejayaan layak ke final Piala FA, pada 19 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang gembira dengan kemaraan skuad kendalian Bojan Hodak itu menaruh harapan TRW mampu membawa piala itu ke Kelantan musim ini.
"Saya harap pemain Kelantan dapat menebus kekecewaan pada tahun lalu apabila mereka sekadar muncul naib juara Piala FA selepas tewas kepada Terengganu di pentas akhir.
"Kita harap Kelantan dapat muncul juara dalam Piala FA pada tahun ini dan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pasukan TRW mencapai kejayaan cemerlang," katanya di Kota Bharu, semalam.
Abdul Fattah berkata demikian ketika mengulas kejayaan pasukan TRW mara sekali lagi ke pentas final Piala FA selepas mencatatkan keputusan agregat 3-3 tetapi layak berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan dengan Kedah.
Pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 21 April lalu, Kelantan mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kedah dan seri 2-2 dalam separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam kelmarin.
Menurut Abdul Fattah, kejayaan Kelantan mara ke final tahun ini dapat menyuntik semangat kepada peminat bola sepak tempatan yang selama ini banyak menyokong pasukan TRW.
Sehubungan itu, beliau mahu barisan pemain Kelantan terus bekerja keras dalam mencapai kejayaan dengan menggondol Piala FA musim ini selepas hajat mereka untuk membawa pulang piala itu tidak kesampaian sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011.
"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas kejayaan Kelantan yang sekali lagi berjaya mara ke Final Piala FA dan berharap mereka mampu membawa pulang piala itu sebagai hadiah untuk peminat dan penyokong bola sepak Kelantan," katanya.
No comments:
Post a Comment