JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris menafikan skuadnya menghadapi masalah dalaman sebaliknya taktikal tidak menjadi sebagai penyebab utama pasukannya gagal melayakkan diri ke pentas final Piala FA sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
“Selain itu, ketumpulan jentera serangan yang tidak menyempurnakan beberapa peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan juga menjadi faktor kita gagal mengulangi sejarah musim lalu,” katanya yang jelas kecewa selepas pasukannya ditunjukkan jalan keluar oleh pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC dengan agregat 1-2.
Menurut pengendali berusia 54 tahun itu, dia sudah mencuba resipi yang terbaik untuk membawa skuad Penyu mara ke final buat kali kedua berturut-turut, namun mungkin nasib tidak menyebelahi skuad Terengganu musim ini yang tewas di peringkat separuh akhir. “Kekalahan ini memang terlalu perit untuk ditelan apatah lagi musim lalu Terengganu menjulang piala ini, namun saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka biarpun saya pasti akan mendapat cemuhan daripada peminat setia Terengganu,” katanya.
Pada perlawanan malam kelmarin di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hajat skuad bimbingan Mat Zan untuk menewaskan Sime Darby selepas tewas 1-2 dalam perlawanan pertama di Kuala Terengganu tidak kesampaian apabila hanya seri 0-0.
Lebih parah, Mat Zan yang didesak meletak jawatan selepas prestasi pasukannya tidak menentu turut menyatakan barisan tengah yang tidak kreatif juga menyebabkan Terengganu gagal mengubah keputusan dalam perlawanan pertama.
“Saya tidak mahu menyalahkan pemain 100 peratus, pemain sudah melakukan yang terbaik, tetapi ketidakupayaan beberapa pemain yang tidak kreatif serta barisan depan gagal menyudahkan peluang terbaik menyebabkan kita gagal mara.
“Saya mengharapkan pemain melupakan kekalahan ini biarpun terlalu pahit, sebaliknya memberikan fokus kepada saingan dalam liga dan Piala Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment