Thursday, May 3, 2012

Sentuhan Hazwan ditagih


Harian Metro

SENTUHAN pemusnah penyerang Ahmad Hazwan Bakri kembali ditagih skuad Harimau Muda A yang akan turun dengan misi memburu tiga mata penuh menentang Geylang United di Stadium Jalan Besar hari ini bagi mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Liga Singapura (Liga-S).


Hazwan mencuri tumpuan dengan meledak hatrik pada penampilan pertama bersama skuad kebangsaan ketika membenam Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Sabtu lalu manakala seorang lagi pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor menyumbat dua gol.


Bagi Kim Swee, beliau mengharapkan empat pemain yang dipanggil menyertai latihan bersama jurulatih Datuk K Rajagobal minggu lalu termasuk kapten, Mahali Jasuli dan Mohd Fadhli Shas mempamerkan aksi konsisten bersama pasukannya.




“Saya mengharapkan pemain yang mendapat pengalaman bersama pasukan kebangsaan ini memainkan peranan besar kepada pasukan Harimau Muda A pada perlawanan esok (hari ini). “Mereka harus ingat, untuk mendapat tempat dalam mana-mana pasukan, mereka harus mempamerkan aksi konsisten tidak kira ketika beraksi di dalam liga dan juga antarabangsa,” katanya ketika dihubungi di Singapura semalam.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Harimau Muda A kini menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 20 mata, tiga mata di belakang peneraju liga, Brunei DPMM FC.


Malah kemenangan ke atas Geylang yang menduduki tangga kedua tercorot liga akan membolehkan anak buah Kim Swee itu memintas pasukan di tangga kedua, Balestier Khalsa yang hanya mendahului satu mata dan tidak beraksi hari ini.





“Kita tak boleh pandang rendah pasukan Geylang walaupun kedudukan mereka dalam liga teruk kerana mereka satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Balestier setakat ini. Saya mahu pemain mengekalkan permainan seperti ketika menewaskan Hougang United (3-1) minggu lalu,” kata Kim Swee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...