TIADA pemain yang selamat dalam pasukan. Itu isyarat jelas buat pemain Harimau Muda A yang perlu bersaing merebut tempat dalam skuad bawah 22 tahun (B-22) negara selepas jurulatih Ong Kim Swee memanggil 12 pemain luar bagi sesi latihan pusat menjelang pusingan kelayakan Kejohanan Piala Asia 2013 di Yangon, Myanmar Jun ini.
Daripada senarai 33 pemain, pengendali negara itu memanggil 21 pemain Harimau Muda A manakala selebihnya dibarisi Ilham Amirullah Razali (Harimau Muda B), Faizol Nazlin Sayuti, Muhd Shahran Md Zin, Muhd Norsyahrul Hawari Hanafi, Muhd Syazwan Yusoff (Kelantan), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohd Aminuddin Mohd Nor (Selangor PKNS), Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Ashri Chu Chu (Sarawak), Muhd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Muhd Hafiz Mohd Fauzi (Kuala Lumpur) dan Muhammad Arif Farhan Md Isa (SSBJ).
Menurut Kim Swee, tindakannya itu adalah untuk memastikan persaingan lebih sengit dalam merebut tempat dalam skuad B-22 yang menggalas misi untuk muncul dua pasukan terbaik Kumpulan G yang turut membabitkan Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina bagi merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
“Saya akan memulakan latihan pusat pada 7 Mei ini dan akan menilai prestasi kesemua pemain ini sebelum dipilih menjalani latihan di Eropah. Di antara 12 pemain luar ini, ada yang pernah saya panggil bagi latihan bersama skuad Olimpik sebelum ini seperti Rozaimi, Ashri Chu Chu, Azrif dan Zubir.
“Mereka ini akan diberikan peluang bersaing dengan pemain Harimau Muda bagi merebut tempat dalam pasukan. Di sini saya mahu melihat potensi pemain dan sejauh mana keinginan mereka untuk menyarung jersi negara,” katanya ketika dihubungi di Singapura semalam.
Pastinya paling menarik tumpuan adalah kehadiran pemain muda berusia 16 tahun, Arif Farhan.
“Arif boleh bermain di posisi pertahanan kanan dan kiri serta tengah. Saya sering mengikuti perkembangannya di SSBJ dan saya ingin menilai sejauh mana kemampuannya dalam pasukan ini. Saya akan beri dia peluang sama seperti Nazmi (Faiz Mansor),” kata Kim Swee.
No comments:
Post a Comment