TUGAS Selangor untuk mengejar kejuaraan Liga Super musim ini semakin sulit selepas menerima tamparan hebat tumpas di tangan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran Kedah 1-0 pada aksi di Stadium Darulaman, kelmarin.
Kekalahan ketiga liga anak buah kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu meletakkan skuad Gergasi Merah merosot ke tangga kelapan dengan mengumpul 12 mata selepas sembilan perlawanan.
Aksi tidak konsisten Selangor pastinya membingungkan bekas pengendali Terengganu itu selepas menyaksikan skuadnya menewaskan pendahulu liga, Kelantan 2-1 pada aksi sebelum ini.
“Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol berbanding Kedah namun peluang itu gagal disempurnakan dengan baik oleh pemain saya. Mohd Fitri (Shazwan Raduwan) misalnya gagal menjaringkan gol ketika pintu gol sudah terbuka selain Safiq Rahim dan juga Mohd Amri Yahyah juga terlepas peluang baik untuk menghasilkan gol.
“Memang penyerang import kami, Bosko Balaban dikawal ketat pemain Kedah namun pemain lain gagal mengambil kesempatan. Kami beraksi dengan 10 pemain pada tempoh 30 minit terakhir namun masih berjaya memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah,” katanya.
Selangor tertekan dalam perlawanan itu selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan dari Lubnan, Ramez Dayoub dilayangkan kad merah kerana sengaja menahan bola dalam kotak penalti.
Penalti pertama Kedah itu gagal disudahkan oleh Baddrol Bakhtiar namun sepakan penalti kedua pada minit ke-83 tenang disempurnakan oleh Safi Alfatah untuk membuatkan pasukan pelawat berputih mata.
Enggan mengulas lanjut mengenai keputusan pengadil, Maswari Mislan memberikan sepakan penalti kedua itu, Irfan berkata, aksi perlawanan antarabangsa minggu lalu yang dilalui beberapa pemain nyata menjejaskan rentak Selangor.
No comments:
Post a Comment