Thursday, December 12, 2013

Aristegui sah milik ATM

Sumber: Harian Metro
 
Seremban: Selepas memiliki penyerang terbaik Marlon Alex James, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melengkapkan kekuatan pasukan itu apabila menyambar bekas penyerang MPPJ FC, Juan Manuel Aristegui dalam persiapan mengharungi Liga M musim depan.

Perkara itu disahkan jurulatih ATM B Sathianathan yang menyifatkan pemain berusia 33 tahun dari Argentina itu diyakini mampu menguatkan lagi skuad itu berdepan saingan Liga Super.

 
“Aristegui pernah beraksi dengan MPPJ FC dan berjaya membuktikan keupayaannya apabila membantu pasukan muncul kelab pertama menjulang trofi Piala Malaysia.

“Dia baru tiga hari sampai dan mula menjalani latihan bersama pemain lain, tapi malam ini (kelmarin) saya tidak menurunkan dia kerana perlukan masa dan bercadang untuk dia beraksi dalam perlawanan persahabatan berikutnya.

“Saya yakin kehadiran Aristegui dapat memantapkan lagi pasukan yang sebelum ini sudah memiliki Marlon Alex James dan Bruno Martelotto dan saya berharap gandingan mereka akan membantu pasukan memberikan persembahan terbaik serta melakar kejayaan lebih baik musim depan,” katanya selepas perlawanan persahabatan antara Negeri Sembilan dan ATM, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Menurut Sathianathan, selain itu terdapat lima pemain tempatan yang sebelum ini beraksi dengan FELDA United FC dan Terengganu serta pemain Piala Presiden turut melengkapkan senarai 25 pemain skuad The Gladiators.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, pihaknya sudah menyusun 13 perlawanan persahabatan dan setakat ini empat daripadanya sudah dijalankan selain turut merancang untuk mengadakan latihan dan aksi persahabatan antarabangsa di Vietnam.

“Sebelum ini kita merancang mengadakan aksi persahabatan di Bangkok tapi terpaksa dibatalkan kerana faktor keselamatan dan kini berusaha untuk pergi ke Vietnam namun tarikhnya belum ditentukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...