Sumber: Utusan
NAY PYI TAW - Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong 
Kim Swee boleh disifatkan sebagai individu paling tidak gembira selepas 
melihat skuad kendaliannya sekadar menang 2-0 ke atas Brunei pada 
perlawanan pertama Kumpulan A Sukan SEA Myanmar.
Perkara yang paling membuatkan Kim Swee berasa geram adalah 
melihatkan ketumpulan penyudah anak-anak buahnya yang bagaikan gementar 
setiap kali berada di hadapan pintu gol.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih boleh menarik nafas lega kerana 
tiga mata berjaya digenggam pada perlawanan pertama sekali gus 
memastikan kempen negara pada acara bola sepak masih berjalan dengan 
lancar.
''Terus-terang saya memang tidak gembira dengan persembahan kita, 
walaupun berjaya mencipta banyak peluang namun gagal menyempurnakannya.
''Kegagalan kita memanfaatkan peluang secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada lawan untuk melancarkan serangan.
''Kita perlu memperbaiki kelemahan kita pada perlawanan akan datang terutama di bahagian sayap dan serangan.
''Bukan sekadar Izzaq Faris (Ramlan), tetapi beberapa pemain lain 
seperti Thamil Arasu, Rozaimi dan Irfan Fazail juga gagal menyudahkan 
peluang," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan, semalam.
Tambah Kim Swee, Brunei juga beraksi sebagai satu pasukan yang bagus,
 malahan beberapa serangan balas yang mereka lakukan hampir memerangkap 
pasukannya.
''Semasa mereka bertahan dan berpeluang melakukan serangan balas, mereka memang sebuah pasukan yang nampak berbahaya.
''Mujur kita mampu bertahan dengan baik di samping lawan gagal menyempurnakan peluang yang ada," katanya.
Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Soon, mengakui sedikit terkejut melihat cara permainan pasukan Malaysia.
''Setahu saya Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan pernah menyaksikan cara anda bermain.
''Cuma pada hari ini saya nampak persembahan mereka tidak begitu 
menjadi dan kesempatan itu diambil oleh para pemain saya," katanya.
Jangkaan awal untuk Malaysia menang dengan jaringan besar ternyata 
meleset apabila hanya dua gol mampu dicipta melalui Mohd. Rozaimi Abd. 
Rahman, pada minit ke-30 dan Ashri Chucu pada minit ke-70. - Utusan
 
 

No comments:
Post a Comment