Friday, December 13, 2013

Devan latih dua pasukan?

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Nasib K Devan untuk mengendalikan Pulau Pinang musim depan menjadi tanda tanya apabila kontraknya bersama pasukan Liga Perdana itu dipertikai kerana beliau masih lagi mempunyai kontrak dengan FELDA United hingga 2015.

Kes itu kini menjadi perhatian Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan FELDA dan jurulatih berusia 52 tahun itu mencari jalan penyelesaian bersama sebelum tindakan tegas diambil. 




Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, FELDA mendakwa mereka masih lagi membayar gaji Devan mengikut kontrak asal yang bakal berakhir pada 2015 biarpun sudah melantik Irfan Bakti Abu Salim untuk membimbing pasukan musim depan. 

“Selagi kontrak dengan FELDA masih ada, Devan tidak boleh menjadi jurulatih Pulau Pinang. FELDA boleh melantik Irfan kerana dua jurulatih untuk satu pasukan tiada masalah tapi seorang jurulatih untuk dua pasukan tidak boleh,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain semalam.


Devan sebelum ini direhatkan pengurusan FELDA United di penghujung musim Liga Super lalu kerana gagal memperbaiki kedudukan pasukan hingga akhirnya tersingkir ke saingan Liga Perdana.

Beliau yang sebelum ini turut membimbing Johor FC dan Selangor kemudian dilantik mengendalikan skuad Harimau Kumbang bagi kempen Liga Perdana musim depan. 

Menurut Takiyuddin, wakil FELDA yang hadir pada mesyuarat semalam menyatakan, mereka bersedia untuk berbincang mengenai isu penamatan kontrak Devan bagi mengelakkan kes itu dibawa semula ke FAM. 

“FELDA sedia berbincang dengan Devan bagi penamatan kontrak secara bersama. Mereka perlu mencapai persetujuan mengenai jumlah pampasan dan jika gagal mencapai kata putus, kes itu akan dirujuk semula kepada kami,” katanya. 

Sementara itu, Takiyuddin turut mengesahkan dua kes pemain, Mohd Nazri Ahmad dan Mohd Nor Farhan Muhammad digugurkan selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menarik balik dakwaan ke atas pemain terbabit yang dikatakan melanggar kontrak. 

FAS bersetuju menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan isu pelanggaran kontrak Nazri yang membuat pusingan U menyertai skuad The Red Warriors di luar FAM manakala PBNJ pula setuju dengan bayaran pampasan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) untuk menutup kes Nor Farhan. 

Mengenai perkembangan kes Brendan Gan, Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim yang turut hadir pada mesyuarat itu mengesahkan sudah menerima surat rasmi daripada FAM kelmarin bahawa permohonan untuk mendaftar pemain kelahiran Australia itu sebagai pemain tempatan ditolak. 

Mengikut peraturan FAM, walaupun bapa Brendan berasal dari Seremban, pemain tengah itu perlu mempunyai pasport Malaysia untuk mewakili negara. Jika mendapat kerakyatan Malaysia sekalipun, Brendan, 25, perlu menetap di negara ini sekurang-kurangnya lima tahun untuk bergelar pemain tempatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...